Pulau Pinang berpotensi rapatkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar -Exco

SUNGAI ACHEH – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Pulau Pinang mempunyai potensi besar untuk merapatkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, selain fokus untuk menjadi negeri maju, pintar dan mesra keluarga bagi mencapai Visi Penang2030, Kerajaan Negeri juga mahu masyarakat di luar bandar turut merasai nikmat pembangunan yang dilaksanakan sejak sekian lama.

Lawatan ke Kilang Kopi Fajar Menyinsing yang diusahakan sejak 1964.

“Justeru, dalam usaha mencapai Visi Penang2030, saya selalu tekankan kepada pegawai kerajaan khususnya Pegawai Daerah untuk melihat bahawa pembangunan negeri tidak hanya tertumpu di bahagian pulau sahaja sebaliknya perlu menyeluruh termasuk di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang terletak di penghujung negeri.

“Walau bagaimanapun, pembangunan yang mahu dilaksanakan haruslah sesuai dengan persekitaran atau kehidupan komuniti setempat seperti membangunkan perindustrian dan pertanian yang boleh menambah pendapatan masyarakat di kampung.

Serahan kunci kepada pemilik rumah yang dibina baru melalui peruntukan BPEN.

“Contohnya industri madu kelulut yang diusahakan, walaupun hanya secara sampingan tapi boleh menjana pendapatan sehingga RM700 sebulan.

“Begitu juga dengan Kopi Fajar Menyinsing walaupun diusahakan di kampung tapi mampu dipasarkan sehingga ke Kuala Lumpur,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya semasa berucap pada majlis penutup program Jelajah Desa Peringkat Daerah SPS dekat Kampung Sungai Buaya, di sini, semalam.

Melawat keadaan rumah Fatimah Abu Bakar yang menerima bantuan baik pulih.

Turut serta, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pegawai Daerah SPS, Yazman Yahya; Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Muhaimin Ibrahim serta beberapa pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh.

Terdahulu, program Jelajah Desa peringkat SPS dimulakan dengan kunjungan ke Kilang Kopi Fajar Menyinsing untuk melihat cara pemprosesan kopi secara tradisional yang diusahakan sejak 1964.

Bengkel Teknologi Pembuatan antara latihan yang diberikan kepada pelajar-pelajar Perda Tech.

Selepas itu, Afif bersama-sama peserta jelajah meneruskan kunjungan ke kediaman Khairuddin Din dekat Sungai Kechil yang merupakan penerima bantuan bina semula rumah melalui peruntukan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Pulau Pinang bernilai RM45,000.

Lawatan diteruskan pula ke kediaman Fatimah Abu Bakar di Kampung Nenas, Sungai Kechil yang merupakan penerima bantuan baiki rumah sumbangan GiatMARA.

Jelajah kemudiannya diteruskan ke Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda-Tech) yang menyediakan kursus-kursus kemahiran antara yang terbesar di SPS sebelum ke Taman Negeri Bukit Panchor bagi menyampaikan bantuan baja pokok kepada 64 petani sumbangan daripada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

Menyampaikan bantuan peralatan kepada peniaga-peniaga yang layak dekat Kampung Sungai Buaya.

Mengakhiri lawatan, Afif bersama-sama para peserta jelajah berkunjung ke kediaman Muhamad Zaini Mat Yatim dekat Kampung Sungai Buaya yang merupakan pengusaha madu lebah kelulut sebelum menyampaikan bantuan peralatan kepada peniaga-peniaga yang layak.

Di kesempatan itu juga, Buletin Mutiara berpeluang menemu bual beberapa usahawan dan penerima bantuan yang terlibat dalam program tersebut.

Antaranya SYARIFAH MURNI KASIM@MUSA, yang merupakan generasi ketiga bagi perusahan Kopi Fajar Menyinsing memberitahu bahawa perniagaan yang diusahakan datuknya, Osman Ahmad kini mampu menembusi pasaran luar negara dengan bantuan geran sumbangan Kerajaan Negeri.

Syarifah Murni Kasim@Musa.

“Sebagai cucu kepada pengasas Kopi Fajar Menyinsing, saya mengambil alih perusahaan ini sejak tahun 2011 dan meningkatkan perniagaan untuk memasarkan produk ke luar negeri.

“Alhamdulillah, dengan bantuan geran yang banyak diterima daripada Kerajaan Negeri membolehkan produk Kopi Fajar Menyinsing dipasarkan ke seluruh negara termasuk di luar negara…setakat ini kita berjaya pasarkan di Kemboja.

“Selain bantuan geran, kami juga dibawa mempromosikan produk ke luar negara seperti di Medan dan China oleh pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang sangat membantu dalam memperkenalkan produk ini ke luar negara,” ulasnya ketika ditemui.

Syamil Addin Khairuddin.

Bagi SYAMIL ADDIN KHAIRUDDIN, 25, pula meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu ayahnya, Khairuddin Din, 69, membina sebuah rumah baru bagi menggantikan kediaman lama mereka yang terlalu usang.

“Bantuan ini amat bermakna memandangkan ayah saya kini sedang sakit dan rumah yang selesa amat diperlukan keluarga kami. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pemberian bantuan ini,” katanya.

Fatimah Abu Bakar.

Nada sama disuarakan FATIMAH ABU BAKAR, 70, yang turut menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan membaiki rumahnya yang sangat usang dan tidak selamat untuk didiami sebelum ini.

Abu Bakar Nor.

Penerima sumbangan baja pokok, MOHD. NOR ABU BAKAR, 52, memberitahu bahawa sumbangan tersebut dapat membantu meringankan kos untuk penanaman buah durian yang diusahakannya.

“Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Pertanian Negeri (Pulau Pinang) yang bermurah hati memberikan bantuan baja.

“Dengan bantuan ini dapatlah jimatkan perbelanjaan untuk membeli baja dalam tempoh setahun ini,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS