Pulau Pinang berwibawa berbanding pusat – Mansor

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Bajet Kerajaan Berjiwa Rakyat 2012 seakan memperlihatkan urus ekonomi Kerajaan Negeri Pulau Pinang berwibawa berbanding kerajaan pusat.

Demikian isyarat yang disuarakan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2011 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, hutang semasa Kerajaan Negeri sekarang hanya RM29.66 juta walaupun pada Mac 2008 berjumlah RM630.13 juta.

“Saya juga amat bangga… penurunan hutang yang paling cemerlang di antara semua negeri lain dengan penurunan, sebanyak RM600 juta atau 95 peratus.

“Berbanding dengan kedudukan hutang Persekutuan yang naik sebanyak 71% atau RM190 bilion dalam tempoh masa yang sama daripada RM266 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM456 bilion pada akhir 2011,” ujar beliau.

Beliau turut menyuarakan rasa bangga kerana Bajet 2011 mendedahkan sehingga akhir tahun lepas, rizab Kerajaan Negeri naik ke RM1.13 bilion.

Dalam keraian tersebut, beliau turut mengumumkan program baru Kerajaan Negeri, iaitu sumbangan RM100 kepada bayi baru lahir bermula 1 Januari tahun ini melalui Program Anak Emas serta beberapa program sumbangan Kerajaan Negeri lain demi kebajikan rakyat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. Dr. P.Ramasamy, Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang), Datuk Mokhtar Jait (Pegawai Kewangan Negeri), Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) dan Datuk Ooi Chin Loo (Pengarah Urusan Ivory Properties Group Berhad).