Pulau Pinang cadang naikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun – Exco

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang untuk menaikkan had umur perkahwinan daripada 16 tahun ketika ini kepada 18 tahun tidak lama lagi, kata Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama selain Islam, Chong Eng.

Menurutnya, cadangan bagi pindaan menaikkan had umur berkaitan akan dilaksanakan menjelang pertengahan tahun hadapan.

“Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) pernah menyuarakan agar setiap negeri menaikkan had umur perkahwinan secara serentak dan kita (Pulau Pinang) telah membincangkan perkara ini di dalam mesyuarat barisan Exco sebelum ini.

“Saya akan membentangkan usul ini (pindaan) dalam persidangan DUN tidak lama lagi dan diharapkan ia akan diterima,” katanya pada Forum Perkahwinan Bawah Umur: Apa Kata Profesional dekat Auditorium Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini pada 20 Oktober lalu.

Forum selama tiga jam tersebut turut menampilkan empat lagi panelis iaitu Mufti Pulau Pinang, Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Nor; Dr. Zasmani Shafiee (pakar psikologi kanak-kanak); Ahmad Munawir Abdul Aziz (peguam) serta Syed Azmi Alhabshi (aktivis masyarakat).

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee; Goh Choon Aik (ADUN Bukit Tambun); Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP dan ramai lagi.

Mengulas lanjut, Chong Eng berkata, berdasarkan statistik terkini dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), perkahwinan bawah umur masyarakat Islam mencecah 10,000 kes dan bukan Islam pula sebanyak 4,999 kes dari tahun 2007 sehingga 2017.

“Statistik ini membuktikan bahawa perkahwinan bawah umur adalah isu nasional dan bukan sahaja spesifik kepada masyarakat Islam semata-mata.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak khususnya badan-badan kebajikan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) supaya lebih peka dan prihatian terhadap isu-isu ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Dr. Wan Salim berkata, cadangan menaikkan had umur perkahwinan adalah terletak sepenuhnya kepada keputusan pihak kerajaan.

“Jika kerajaan rasa had umur 16 tahun tak sesuai lagi mengikut situasi semasa maka tiada masalah untuk tetapkan had umur yang lebih sesuai.

“Tindakan pemerintah perlu melihat sejauhmana ia membawa kepentingan kepada rakyat,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI