Program pendidikan dan pemandulan haiwan langkah jangka panjang tangani haiwan terbiar – Ahli Majlis

HENG Yeh Shiuan (tiga dari kanan) memerhatikan salah seekor anjing yang sedang menjalani pembedahan pemandulan di sini baru-baru ini.

JAWI – Sebagai inisiatif mengelakkan persekitaran setempat dari kacau ganggu haiwan terbiar yang memungkinkan terjadinya penularan penyakit, satu Program Pemandulan Anjing dan Pendidikan Haiwan Kesayangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Bersama Komuniti dan NGO (badan bukan kerajaan) digembleng baru-baru ini.

Program anjuran MPSP, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP), SPCA Pulau Pinang dan pihak swasta tersebut diadakan dekat Taman Berjaya, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) dari jam 8:30 pagi hingga 1 petang sambil diselia oleh Ahli Majlis MPSP, Heng Yeh Shiuan.

Untuk makluman, isu anjing terbiar ini masih lagi menjadi isu kritikal di mana sehingga September 2018, sebanyak 1,223 aduan berkenaan anjing liar diterima pihak MPSP.

Sebagai langkah proaktif, MPSP telah menjalankan operasi tangkapan setiap hari dan sehingga September tahun ini, sebanyak 2,474 ekor anjing berjaya ditangkap.

Namun begitu operasi tangkapan ini merupakan langkah jangka pendek bagi menyelesaikan masalah anjing terbiar, manakala langkah jangka panjang yang dirangka adalah dengan mengadakan program pendidikan seperti yang diatur pada hari ini,” ujar Yeh Shiuan ketika berucap pada program tersebut.

Jelasnya, lambakan anjir terbiar yang berlaku pada hari ini adalah berikutan sikap tidak bertanggungjawab pemilik haiwan yang bertindak membuang haiwan peliharaan masing-masing sewenang-wenangnya apabila tidak lagi berminat membelanya.

Haiwan berkenaan kemudiannya membiak tanpa kawalan dengan bilangan banyak, justeru, penting untuk mendidik masyarakat dalam pemeliharaan haiwan kesayangan dan juga memandulkan anjing peliharaan masing-masing supaya populasi anjing jalanan menurun ke tahap minimum yang boleh dikawal,” jelasnya.

Pada program tersebut, pemilik-pemilik haiwan diberikan harga istimewa untuk menjalankan proses pemandulan haiwan serta mendapatkan suntikan vaksin.

Selain program pendidikan dan tatacara menjaga haiwan, hadirin turut berpeluang mengambil kucing atau anjing sebagai haiwan angkat sebagai peliharaan daripada SPCA Pulau Pinang.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: CHAN KOK KUAN