Pulau Pinang cadang Pusat wujudkan skim, gred gaji standard guru KAFA

Admin

SUNGAI DUA – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mewujudkan skim perkhidmatan serta gred gaji standard untuk guru Kelas Agama & Fardhu Ain (KAFA), sebagaimana dinikmati oleh tenaga pengajar yang melaksanakan program Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardhu Ain (j-QAF) di sekolah kerajaan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa cadangan itu adalah demi memartabatkan lagi sistem pendidikan Islam di seluruh negara terutama Pulau Pinang.

KETUA Menteri

“Saya berasa perkara ini (sistem gred dan gaji standard guru KAFA) perlu diberi perhatian kerana guru-guru KAFA juga memberi sumbangan yang besar untuk pembentukkan modal insan melalui pendidikan agama (Islam), dan ini merupakan suatu pengiktirafan sumbangan mereka.

“Setakat ini tidak ada skim perkhidmatan, kalau diwujudkan (skim perkhidmatan), saya rasa ia akan menyumbang kepada kebajikan guru-guru (KAFA) sendiri serta pendidikan Islam secara keseluruhannya.

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha ini demi kebaikan bersama keseluruhan 207 buah kelas KAFA dengan hampir 46,516 pelajar serta kira-kira 1,587 penyelia dan guru KAFA,” jelasnya sejurus merasmikan Program Baktimu Dihatiku dekat Pusat Kegiatan Guru KAFA, Padang Menora di sini pada 18 Oktober 2020.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa pihaknya akan membincangkan cadangan tersebut dengan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Mohd. Zakuan Zakaria serta beberapa pihak berwajib lain sebelum mengutarakan ke peringkat Putrajaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut menggesa Putrajaya agar mempercepatkan pelaksanaan projek peningkatan capaian internet 5G di kawasan-kawasan luar bandar dekat negeri ini.

Sebelum itu, beliau ketika berucap merakamkan ucapan tahniah kerana Pulau Pinang muncul sebagai negeri terbaik selama tiga tahun berturut-turut daripada segi keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (KAFA).

Di samping itu, Kon Yeow turut menyaksikan wakil Malaysia Book of Records (MBOR) menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Persatuan Guru-Guru dan Penyelia KAFA atas kejayaan mengumpulkan lebih 1,200 buku skrap 2020 sempena Pertandingan Buku Skrap Ibadahku sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), April hingga Jun lepas.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 30 guru KAFA yang bersara secara wajib bagi tahun 2019 dan 2020.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD