Pulau Pinang cadang tujuh projek infrastruktur utama dalam Bajet 2022

Admin

GEOEGE TOWN – Cadangan tujuh projek infrastruktur utama melibatkan pelbagai industri yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk dimasukkan dalam Bajet 2022 mendapat perhatian Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).

Cadangan bagi projek-projek berkaitan dibentangkan dalam sesi taklimat pada program jelajah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke negeri Pulau Pinang sempena penyediaan Bajet 2022.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai semua cadangan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan akan membincangkan perkara itu dengan kementerian-kementerian yang berkaitan.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengadakan perbincangan bersama-sama Ketua Menteri sempena lawatan beliau ke negeri Pulau Pinang hari ini.

“Kita (MoF) akan mempertimbangkan perkara ini dan seterusnya akan membawa cadangan-cadangan dikemukakan untuk pertimbangan kementerian serta agensi-agensi terbabit.

“Tambahan pula, terdapat beberapa cadangan yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah selari dengan tumpuan MoF dalam penyediaan bajet bagi tahun 2022,” katanya dalam sesi taklimat bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidon dan Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Turut serta, Pengarah Agensi Pelaksana Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA), Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim; Timbalan Kewangan Negeri, Zahidah Abdul Jalil; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri, Zuhair Jamaludin serta Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini.

Dalam pada itu, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada delegasi Kementerian Kewangan kerana mengadakan sesi libat urus bersama-sama dengan negeri-negeri terpilih bagi mendengar pandangan dalam penyediaan Bajet 2022.

“Pelaksanaan sesi libat urus atau perbincangan sebegini amat baik bagi memastikan agenda pembangunan negeri adalah selari dengan agenda (pembangunan) negara.

Pelbagai cadangan projek berkepentingan rakyat dikemukakan oleh Kerajaan Negeri pada sesi taklimat berkaitan Bajet 2022 yang diadakan sebentar tadi.

“Malah, ia juga dapat memastikan dasar-dasar serta perancangan Kerajaan Pusat dilaksanakan dengan teliti menerusi penglibatan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri.

“Saya amat berharap agar pendekatan seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang, dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberi kerjasama demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” ulasnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menggagaskan pelan pembangunan negeri sehingga tahun 2030 dikenali sebagai Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Kita berharap agar dasar-dasar utama Negeri dan Persekutuan adalah selari, serta usaha-usaha untuk mencapai kemakmuran bersama akan didukung di peringkat negeri dan diterjemahkan dalam Visi Penang2030,” ujarnya.

Difahamkan, tujuh projek yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam sesi taklimat berkaitan adalah melibatkan peruntukan kewangan berjumlah kira-kira setengah bilion ringgit.

Ketua Menteri menyerahkan cenderamata kepada Tengku Zafrul semasa kunjungan hormat beliau sebentar tadi.

Antaranya adalah membabitkan pembinaan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak yang dihuni oleh kira-kira 3,000 penduduk; rancangan tebatan banjir (RTB) kawasan perindustrian Perai; pembinaan Jambatan Sungai Tengah yang menghubungkan Bandar Cassia ke Byram dan Changkat serta pembinaan laluan basikal mesra alam di sepanjang persisiran pantai Jalan Batu Feringghi.

Selain itu, projek naik taraf Stadium Batu Kawan; mewujudkan Butterworth Creative Centre dan menaik taraf kemudahan peralatan di dalam makmal bagi PSDC German Dual Vocational Training (GDVT)-Malaysian Meister Program (MMP) Level 1 juga turut dibentangkan.

Terdahulu, Tengku Zafrul turut melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri dekat pejabat beliau kira-kira 15 minit sebelum menyertasi sesi taklimat tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR