Pulau Pinang capai 97.92 peratus transaksi nirtunai, lonjak agenda pendigitalan negeri

316eba49 d0ff 4da3 a968 69a910c5e510

PENGKALAN KOTA – Pulau Pinang terus mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam pelaksanaan transaksi nirtunai (cashless) apabila kadar penggunaan pembayaran tanpa tunai mencecah 97.92 peratus pada tahun 2025.

fe7b4a7e 0b5e 4025 910e 05145ad86224
MOOI Lye ketika sesi berucap sebentar tadi.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, pencapaian tersebut sekali gus meletakkan Pulau Pinang antara negeri dengan kadar penggunaan transaksi digital tertinggi di Malaysia.

“Pelaksanaan transaksi nirtunai kini menjadi antara pemacu utama dalam mempercepat pendigitalan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan inklusif, selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri.

“Malah, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk memperluas penggunaan pembayaran digital melibatkan bayaran cukai, kompaun, lesen perniagaan serta urusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang kini boleh dilaksanakan dengan lebih mudah dan efisien.

“Sehubungan itu, kerjasama strategik juga terus diperkukuh, di samping usaha meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan transaksi digital,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Transformasi Nirtunai Sektor Awam Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 dekat sini sebentar tadi.

669e68e8 3eb8 4f22 8629 a4373f4428d6414cf0dd 0c76 4557 b1dd d6250eeb2429

e5aca726 75b4 4ae3 80cc 60ab4667f23a c7b8a427 7371 40cc 8096 caba08676b06
Hadir sama, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Goh Choon Aik; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman dan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Muhamad Husni Mahmud.

Mengulas lanjut, Mooi Lye turut menyatakan bahawa pencapaian tersebut merupakan langkah penting ke arah merealisasikan hasrat Pulau Pinang menjadi negeri nirtunai sepenuhnya menjelang tahun 2030.

“Kejayaan ini secara tidak langsung telah mencerminkan tahap keyakinan serta penerimaan rakyat yang tinggi terhadap sistem pembayaran digital di negeri ini.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga sentiasa komited dalam menangani cabaran semasa termasuk isu keselamatan siber, ancaman penipuan dalam talian serta memastikan keterangkuman digital dalam kalangan masyarakat.

“Pengiktirafan ini diharap menjadi pemangkin kepada jabatan dan agensi lain untuk terus mempergiat usaha pendigitalan sekali gus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih moden dan berdaya saing,” tambahnya.

Pada kesempatan sama, Mooi Lye turut merakamkan penghargaan kepada Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) atas kerjasama strategik yang telah memasuki tahun keempat sejak dimulakan pada 2022.

ec505798 9aa8 42d8 a516 b89bc812f2c6
Buletin Mutiara difahamkan, sebanyak 24 jabatan dan agensi telah menerima pengiktirafan atas komitmen tinggi dalam menjayakan kempen nirtunai di negeri ini.

Pengiktirafan tersebut melibatkan empat kategori utama, dengan hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM30,000 sebagai penghargaan terhadap usaha kepada peningkatan kecekapan kutipan hasil kerajaan serta mengurangkan kebergantungan kepada transaksi fizikal.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING