Pulau Pinang catat pelaburan sektor pembuatan tertinggi dalam negara, RM9.214 bilion bagi tempoh enam bulan pertama

GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi mencatatkan angka pelaburan bagi sektor pembuatan tertinggi dalam negara berbanding negeri-negeri lain bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak RM9.214 bilion.

 

Angka rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu sekaligus menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) bagi sektor pembuatan tertinggi negara setakat ini, iaitu RM8.708 bilion.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, angka rasmi bagi pelaburan sektor pembuatan itu merangkumi 56 projek yang diluluskan bagi tempoh antara Januari hingga Jun 2019.

 

“Bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2019, Pulau Pinang berada di kedudukan teratas berbanding negeri lain.

 

“Walaupun tambahan bagi suku kedua tahun ini tidak banyak, tetapi jumlah keseluruhan pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan masih yang tertinggi,” katanya pada sidang media di Komtar, tengah hari ini.

 

ANGKA rasmi yang dikeluarkan oleh MIDA.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Ketua Seksyen (Pengangkutan), Dato’ Lim Hock Seng; serta beberapa wakil daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, bagi sektor pembuatan, Pulau Pinang mencatatkan FDI sebanyak RM8.708 bilion, manakala bagi pelaburan domestik (RM0.506 bilion).

 

“Syukur kerana kita (Pulau Pinang) dapat mengekalkan kemasukan pelaburan serta kekal nombor satu (meskipun) dalam keadaan ekonomi global yang amat mencabar,” ujarnya yang turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif yang ditonjolkan oleh investPenang, Kementerian Kewangan, MIDA serta agensi Persekutuan lain berkaitan dalam memastikan Pulau Pinang terus kekal sebagai destinasi pilihan pelabur.

 

Dalam masa sama, Kon Yeow berharap bahawa Pulau Pinang akan terus memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini terutamanya dalam sektor pembuatan serta sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menjadi penyumbang utama prestasi ekonomi negeri selama ini.

 

Sebelum ini, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan bagi sektor pembuatan sebanyak RM8.8 bilion bagi suku pertama (Januari hingga Mac) tahun ini dengan menyumbang sebanyak 42 peratus daripada keseluruhan FDI negara, tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia.

 

Jumlah tersebut juga jauh lebih tinggi berbanding jumlah pelaburan keseluruhan yang diterima bagi sektor sama pada tahun 2018 iaitu sebanyak RM5.781 bilion.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS