Pulau Pinang destinasi pelaburan terunggul pilihan IHS

Admin

 

GEORGE TOWN – IHS Incorporated, sebuah syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) kini telah memilih Pulau Pinang bagi menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan Bagi Asia Pasific (APAC Centre of Excellence- APACCOE) di sini.

Pemilihan ini adalah sejajar dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab ‘Business Process Outsourcing‘ (BPO) serta kesediaan sumber tenaga kerja yang mahir dalam bidang kejuruteraan dan pembuatan.

Ketua Pegawai Eksekutif IHS Inc., Jerre L.Stead dipetik berkata bahawa APACCOE dengan jumlah pelaburan awal USD$8 juta (RM25.44 juta) akan mula beroperasi pada Disember tahun ini dan menjelang 2015 dijangkakan seramai 1,600 tenaga kerja diperlukan dengan jumlah pelaburan dijangkakan bernilai USD$50 juta.

“Pusat kecemerlangan (terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah) akan menjadi pusat IHS terbesar di dunia dan akan dianggotai serta dikendalikan oleh anak watan. Bagi kami, ia sentiasa anak watan seperti yang saya percaya ia adalah satu-satunya cara untuk mencapai kejayaan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata kemasukan IHS ke Pulau Pinang akan membantu kerajaan mencapai matlamat untuk menjadi bandaraya pintar dan bertaraf antarabangsa.

Syarikat tersebut merupakan salah satu penyumbang sumber dalm teknologi maklumat dan pembekal kepada pelbagai industri termasuk industri tenaga dan janakuasa, minyak dan gas, pertahanan, keselamatan, alam sekitar serta turut disenaraikan di Bursa Saham New York pada tahun 2005.

IHS telahpun memulakan operasinya sejak tahun 1959 dan beribupejabat di Englewood, Colorado, Amerika Syarikat serta mempunyai lebih daripada 5,000 pekerja di lebih daripada 30 buah negara. IHS merupakan salah sebuah syarikat yang sedang berkembang pesat.

Turut hadir ialah Naib Presiden IHS Asia Pacifik, Paul McAvoy; Ketua Pegawai Kewangan IHS Asia Pasifik, Richard Walker, dan Pengarah Eksekutif InvestPenang, Datuk Lee Kah Choon serta Pengurus Invest Penang, Loo Lee Lian.