AMK ketua laporan polis risalah fitnah

Admin
AMIR Ghazali (duduk, tengah) dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Soon Lip Chee (duduk, kanan sekali) menunjukkan risalah palsu '30 Dasar Kerajaan Berjiwa Rakyat' di sini baru-baru ini.
AMIR Ghazali (duduk, tengah) dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Soon Lip Chee (duduk, kanan sekali) menunjukkan risalah palsu ’30 Dasar Kerajaan Berjiwa Rakyat’ di sini baru-baru ini.

BUKIT MERTAJAM – Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah membuat satu laporan polis berhubung risalah fitnah mirip ’30 Dasar Kerajaan Berjiwa Rakyat’ yang dikeluarkan Kerajaan Negeri sebelum ini.

Laporan yang diketuai oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Amir Ghazali itu dibuat dua hari sebelum berlangsungnya Majlis Rumah Terbuka Malaysia yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu pada 10 September lalu.

Cetakan versi palsu itu dipercayai telah didalangi pihak yang tidak bertanggungjawab ekoran penggunaan jata Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi tujuan yang salah untuk menghasut rakyat supaya mempunyai pemahaman salah terhadap dasar-dasar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR).

“Kita anggarkan sudah ada 10,000 risalah yang telah disiapkan untuk edaran dan kita pohon pihak polis bantu menghentikan fitnah terhadap Kerajaan Negeri.

“Majlis adalah untuk meraikan perayaan di peringkat nasional, bukan untuk meraikan UMNO semata-mata. Maka penyebaran fitnah seperti ini adalah bertentangan dengan semangat perayaan Aidilfitri. Tambah biadab, risalah ini akan tersebar di majlis yang akan dihadiri oleh sidang EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” tegas Amir selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini baru-baru ini,

Dalam pada itu, selain risalah palsu ’30 Dasar Kerajaan Berjiwa Rakyat’, wartawan Buletin Mutiara turut menerima sebaran risalah karikatur ‘Transformasi vs Reformasi’ yang memuji-muji Tansformasi Perdana Menteri, Datukl Seri Najib Tun Razak dan cuba memfitnah gerakan Reformasi yang dibawa oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai tuduhan melampau serta tidak berasas.

Justeru, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang mendesak pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan terhadap pihak yang mengeluarkan risalah tersebut.