Pulau Pinang destinasi pilihan penggiat industri

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Pertubuhan Pembangunan Industri Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nation Industrial Development Organisation (UNIDO) mengiktiraf Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 10 rangkaian lokasi yang Berjaya mendemonstrasikan pengalaman perkilangan antara negara-negara ekonomi membangun di dunia.

“Malah, dalam laporan KPMG ( Exploring Global Frontier Report) pada 2009, Pulau Pinang tersenarai antara 31 hab bagi Penyumberan Luar Proses Perniagaan (Business Process Outsourcing – BPO) yang terkemuka di dunia.

“Sehingga hari ini, terdapat 148 buah syarikat dari Pulau Pinang memperoleh Multimedia Super Corridor Malaysia (MSC Malaysia) Status dan sembilan daripadanya telah menyumbang peratusan hasil yang memberangsangkan selain membuka 5,155 peluang pekerjaan,” ucap Pengarah Global Sourcing Cluster Division, Multimedia Development Corporation (MdeC), Michael Warren pada Shared Services and Outsourcing Conference 2012 di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, Pulau Pinang mempunyai infrastruktur bertaraf antarabangsa termasuk jaringan digital optik fiber yang berkelajuan tinggi dan canggih.

Di samping itu, tambah beliau lagi, Pulau Pinang turut menawarkan tenaga kerja mahir dan berkebolehan menutur bahasa asing serta fleksibiliti dengan persekitaran.

“Jaringan sistem pengangkutan yang efisien dan persekitaran selesa serta kondusif menjadikan Pulau Pinang sebagai pilihan tepat untuk perniagaan.

“Malah, ia juga mampu mengembangkan potensi pembangunan dan kestabilan ekonomi serta infrastruktur,” ucap Michael lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Invest Penang atas usaha yang telah ditonjolkan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah destinasi bagi perkongsian perkhidmatan dan penyumberan luar dinamik.

BPO turut mencakupi teknologi maklumat (IT Outsourcing – ITO) dan pengetahuan (Knowledge Process Outsourcing – KPO) yang merupakan sebahagian subset penyumberan luar melibatkan kontrak operasi dan tanggungjawab fungsi perniagaan khususnya kepada pembekal perkhidmatan pihak ketiga.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir merasmikan Shared Services and Outsourcing Conference 2012 berharap agar Pulau Pinang menjadi destinasi premium yang mempunyai nilai tambah terhadap perkongsian perkhidmatan penyumberan luar memfokuskan kepada perkembangan pengetahuan dan kemahiran.

“Dengan penubuhan Unit Penyelidikan, Inovasi dan Sains Pulau Pinang (Penang Research, Innovation and Science Module – PRISMA), diharap dapat mendorong pembangunan, penyelidikan dan kemajuan industri yang lebih rancak,” ucap Guan Eng.

PARA moderator dan penceramah bergambar bersama-sama Ketua Menteri pada penganjuran Shared Services and Outsourcing Conference 2012 di sini baru-baru ini.
PARA moderator dan penceramah bergambar bersama-sama Ketua Menteri pada penganjuran Shared Services and Outsourcing Conference 2012 di sini baru-baru ini.