Simon Wong terajui iP

Admin
SIMON Wong.
SIMON Wong.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNBekas Naib Presiden Dell (Asia) yang juga bekas Pengarah Urusan Dell (Malaysia), Datuk Simon Wong diumum sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Lembaga InvestPenang (iP) baru menggantikan Datuk Lee Kah Choon yang melepaskan jawatannya pada 2 Ogos lalu.

Wong mengambil alih tempat Kah Choon berkuatkuasa serta merta. Wong yang bersara dari Dell pada Mac lalu adalah bertanggungjawab terhadap operasi komputer rangkaian Dell di Malaysia, China dan India. Beliau berpengalaman selama 22 tahun bersama Motorola sebelum menyertai Dell pada 1998.

Wong berkata, beliau akan berusaha menjadikan Pulau Pinang sebuah bandaraya yang mesra untuk didiami (liveable city).

“Buat masa ini, saya masih meneliti di mana yang kurang dengan memikirkan bagaimana iP boleh dihubungkan dengan orang luar dan industri agar menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya yang mesra untuk didiami,” ujarnya ketika majlis sidang media pengumuman pelantikan beliau di Komtar baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkan pelantikan itu menyatakan bahawa penglibatan Wong di dalam iP akan membantu menarik lebih banyak pelaburan besar dan bermutu ke negeri ini.

“Dengan adanya Wong, seorang yang berpengalaman luas, ianya mampu untuk lebih memperkasakan sektor pelaburan di Pulau Pinang pada masa depan.

“Beliau dilihat sebagai seorang yang cukup berpengalaman dan mempunyai kepakarannya sendiri,” ujar Guan Eng.