Pulau Pinang destinasi unggul syarikat multinasional

LIM Guan Eng menunjukkan lakaran pelan perkampungan Industri Kecil dan Sederhana atau dikenali sebagai SME Village yang bakal direalisasikan di Batu Kawan baru-baru ini.
LIM Guan Eng menunjukkan lakaran pelan perkampungan Industri Kecil dan Sederhana atau dikenali sebagai SME Village yang bakal direalisasikan di Batu Kawan baru-baru ini.

 

GEORGE TOWN – Pulau Pinang telah direncanakan di dalam Time Magazine sebagai destinasi pilihan yang unggul oleh para pelabur daripada syarikat-syarikat bertaraf multinasional.

Selain daripada kedudukannya yang strategik, faktor logistik turut memainkan peranan yang penting. Tambahan pula, sistem perundangan dan perlindungan harta intelek di Malaysia yang terjamin, memberi kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada para pelabur yang kini mencari hab industri yang menawarkan kadar upah dan kadar operasi yang berpatutan.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Pulau Pinang menawarkan kepakaran dalam pelbagai lapangan dan komitmen yang jitu dalam pemantapan ekonomi menjadi tarikan utama dalam menarik minat para pelabur untuk melabur di sini termasuklah syarikat-syarikat multinasional.

Melalui Program Transformasi Unggul Pulau Pinang (Greater Penang Trasformation Programme – GPTP), Guan Eng berkata bahawa Pulau Pinang bakal dijadikan metropolis; iaitu bandaraya metropolitan yang ketiga di Malaysia selepas Lembah Klang dan Johor Bharu.

Tambah beliau lagi, sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil dari Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), Performance Management and Delivery Unit (PEMANDU) dan Khazanah Nasional Berhad akan mengadakan kaji selidik dan bertindak sebagai badan pelaksana dalam menjayakan GPTP ini.

Di bawah GPTP, Pulau Pinang bakal dibangunkan termasuklah dalam beberapa aspek penjanaan ekonomi seperti penambahbaikan Jambatan Pulau Pinang, pembinaan jambatan kedua, penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dan juga laluan antara Juru dan Sungai Dua.