Pulau Pinang gerakkan misi bantuan bencana banjir ke Selangor

Admin
KETUA Menteri yang memegang bendera Pulau Pinang menyempurnakan acara pelepasan aset bantuan bencana ke Selangor di perkarangan Padang Kota Lama di sini tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mula menggerakkan sejumlah aset bagi misi bantuan bencana banjir ke negeri Selangor.

Menurut beliau, selain kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), turut terlibat adalah pelbagai pasukan sukarelawanan serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini.

“Saya telah menghubungi Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari untuk bertanyakan situasi semasa pada pagi ini dan juga bantuan yang diperlukan pihak beliau.

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) cuba yang terbaik bagi membantu dari semasa ke semasa, dan akan terus berhubung serta mendapatkan laporan terkini daripada Kerajaan Negeri Selangor.

“Ini termasuk penghantaran beberapa aset oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri dalam tempoh terdekat,” jelasnya sebelum menyempurnakan acara pelepasan misi bantuan bencana banjir ke negeri Selangor dekat perkarangan Dewan Bandaraya, Padang Kota Lama di sini pada 19 Disember 2021.

Bercakap pada sidang media sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata bahawa selain beberapa Persatuan Bomba dan Sukarela (PBS), pasukan sukarelawan serta NGO yang digerakkan pada hari ini, pejabatnya turut menyediakan barangan kelengkapan berkaitan diperlukan bagi mengurangkan risiko perebakan wabak COVID-19 dalam kalangan anggota misi bantuan bencana dari negeri ini.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang atas kedudukannya sebagai Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan semua ahli jawatankuasa eksekutif pertubuhan itu bagi menyertai misi bantuan bencana banjir membabitkan kawasan-kawasan terjejas sekitar negeri Selangor terutama Shah Alam dan Lembah Klang.

“Besar harapan MBPP agar semua kawasan di Selangor yang terjejas akibat fenomena cuaca luar biasa ini akan segera pulih dan kehidupan rakyat dapat kembali seperti sedia kala,” ulasnya.

Difahamkan, seramai 71 anggota bagi kedua-dua PBT berkaitan digerakkan dalam misi bantuan tersebut.

Aset bantuan bencana lain yang turut digerakkan adalah 19 unit Chainsaw, lori combi (2), lori HST (3), tail lift (1), lori RoRo (2), van (4) dan kenderaan pacuan empat roda (4).

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif yang juga
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ar. Addnan Mohd. Razali serta Ahli-ahli Majlis bagi kedua-dua PBT negeri turut sertai acara pelepasan berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS