Pulau Pinang hasrat dapatkan pinjaman mudah Pusat RM1 bilion untuk laksana LRT, PIL1 serentak – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Walaupun Kerajaan Pusat dikekang dek hutang persekutuan yang terlalu tinggi, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berhasrat mendapatkan RM1 bilion pinjaman mudah bagi pembiayaan kerja-kerja awalan dua komponen projek utama di bawah Pelan Induk Pengangkutan (TMP) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pihaknya berhasrat melaksanakan projek jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) George Town ke Bayan Lepas serta pintasan Lebuh Raya Penang Island Link 1 (PIL1) merentasi Bukit Bendera ke Paya Terubong dan Sungai Ara secara serentak, dijangka tahun depan, selepas memenuhi semua kelulusan berwajib daripada agensi Persekutuan.

“Selepas pilihan raya, memandangkan pihak Kerajaan Negeri mahu melaksanakan projek dengan serentak, maka PDP (rakan pelaksana projek iaitu Konsortium SRS) pun memikirkan suatu cara, kalau boleh mendapatkan suatu pinjaman awal RM1 bilion, maka kedua-dua komponen itu iaitu LRT dan PIL(1) dapat dilaksanakan serentak.

“Kalau tidak, mereka (PDP) hanya mampu melaksanakan satu demi satu, (dengan) satu projek memakan masa lima hingga enam tahun.

“Masih belum memohon (pinjaman mudah daripada Kerajaan Persekutuan), mesti dibentangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan mendapat kelulusan terlebih dahulu,” jelasnya kepada pemberita pada petang 22 Julai 2018 di Hotel Jen di sini.

Sebelum itu, Kon Yeow menyampaikan ucapan pembukaan dalam Sesi Taklimat Khas Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) & Ahli Parlimen bagi Pelaksanaan TMP Pulau Pinang di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari dan Pengarah Projek SRS Concortium Sdn. Bhd., Szeto Wai Loong.

Pengarah Eksekutif Kanan Concortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Datuk Zarul Ahmad Zulkifli, iaitu pemaju projek tiga pintasan lebuh raya dan terowong bawah dasar laut, turut sertai sesi dialog tertutup tersebut.

Menjawab soalan pemberita lagi, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya akan tetap memenuhi segala syarat kelulusan yang diperlukan oleh agensi-agensi Persekutuan bagi kelulusan tiap-tiap komponen projek di bawah TMP ini, serta kelulusan untuk kerja-kerja tebus guna tanah laut di selatan pulau, walaupun Kerajaan Persekutuan telahpun berpindah tangan kepada PH pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Tambahnya, setakat ini, model kewangan bagi membiayai kira-kira RM47 bilion kos keseluruhan projek TMP termasuk LRT dan PIL1, adalah melalui kerja-kerja penambakan laut di selatan pulau.

Sekiranya kerja-kerja tanah dapat dilaksanakan mengikut jadual pada awal tahun 2019, jelas Kon Yeow, semua projek komponen di bawah TMP tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh kira-kira 10 tahun.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : LAW SUUN TING