Pulau Pinang juara keseluruhan Kejohanan MSSM, Exco Sukan harap kekal prestasi 2020

Admin

JAWI – Kontingen Catur Pulau Pinang sekali lagi muncul sebagai juara keseluruhan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dengan kutipan 373 mata di Putrajaya baru-baru ini.

Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee berkata, dengan memungut tujuh pingat emas, perak (3) dan gangsa (3) pada saingan tahun ini, diharapkan kontingen negeri mampu mengekalkan pencapaian sebagai juara dalam kejohanan serupa bagi 2020.

“Ini merupakan suatu pencapaian yang amat cemerlang dan saya yakin kontingen Pulau Pinang akan menjadi juara keseluruhan bagi tahun 2020,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal dalam sidang media di sini 9 Ogos 2019.

Turut serta, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim dan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Yazman Yahya.

Sebelum itu, Lip Chee mengumumkan siri tahun ke-11 penganjuran Program Catur Minda Komuniti Daerah Seberang Perai Selatan 2019 yang bakal dilangsungkan pada 17 Ogos ini bermula 8 pagi di Bilik Seminar Pejabat Daerah Dan Tanah SPS.

Beliau berharap pada masa hadapan boleh dianjurkan secara bersama kejohanan catur melibatkan ketiga-tiga Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di daerah SPS.

“Saya difahamkan selain penganjuran seumpama ini di Pejabat Daerah SPS, pejabat KADUN Jawi juga pernah menganjurkan program seumpama ini dengan penyertaan lebih 100 orang.

“Jadi, pada masa hadapan, saya berharap dapatlah dianjurkan secara bersama kejohanan catur melibatkan ketiga-tiga (pejabat) KADUN (iaitu Jawi, Sungai Bakap dan Sungai Acheh),” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mereputasi nama negeri di peringkat kebangsaan dalam acara catur terbabit.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD