Tempias taufan lekima: Kerja pembersihan pasca taufan giat dijalankan

TANJUNG BUNGA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memulakan kerja-kerja pembersihan sejak awal pagi ini selepas tempias Taufan Lekima melanda Pulau Pinang menyebabkan pokok-pokok tumbang menghalang jalan raya dan menimpa struktur rumah, premis perniagaan serta kenderaan.

 

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa buah negeri di utara Semenanjung terjejas disebabkan tempias ‘ekor’ Taufan Lekima yang membadai timur negara China.

 

 

“Selain Pulau Pinang, negeri-negeri lain seperti Kedah di Langkawi dan Perlis turut terkena tempias taufan ini dan saya bersyukur kerana di negeri ini tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

 

 

“Cuma di Seberang Perai ada lima kes kecederaan dan semua mangsa telah dirawat di hospital.

 

 

“Walau bagaimanapun sehingga pagi ini, banyak kes pokok tumbang dilaporkan dan pihak berkuasa tempatan di sini (MBPP) dan MPSP giat menjalankan kerja-kerja pembersihan sehingga kini,” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan lawatan tapak ke projek pembinaan rumah mampu milik dekat sini pagi ini.

 

 

JAGDEEP Singh Deo.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Yang Di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

 

 

Menurut Jagdeep, susulan tempias Taufan Lekima yang melanda Pulau Pinang sekitar jam 10:30 malam semalam (9 Ogos 2019), sebanyak 129 lokasi di bahagian pulau melaporkan kejadian pokok tumbang.

 

 

Manakala di Seberang Perai sebanyak 123 lokasi kejadian pokok tumbang dilaporkan.

 

 

“Tindakan pantas kedua-dua pihak berkuasa tempatan ini membersihkan lokasi kejadian pokok tumbang memang harus dipuji.

 

 

“(Dan) saya difahamkan kerja-kerja pembersihan ini masih berterusan di beberapa kawasan dan hampir 90 peratus telah pulih, bermakna tiada pokok yang menghalang laluan jalan raya dan saya harap ia dapat diselesaikan hari ini.

 

 

“Bagi premis yang mengalami kerosakan akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut semalam, mohon supaya segera membuat laporan polis kerana ada yang layak menerima bantuan daripada Tabung Bencana TYT,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua kakitangan MBPP, MPSP serta agensi-agensi berwajib yang terlibat sama dalam kerja-kerja pembersihan pasca taufan.

 

 

Keadaan di Seberang Perai

Sementara itu, Rozali memaklumkan bahawa seramai 365 pekerja masih bertugas sejak semalam dan turut dibantu oleh tujuh pasukan Community Emergency Response Team (CERT) dari Mak Mandin, Bagan Jermal, Machang Bubok, Pongsu Seribu, Padang Lalang, Bukit Tengah dan Lahar Yooi.

 

 

SR. Rozali Mohamud.

“Susulan kejadian ini, hampir 206 buah rumah di Seberang Perai dilaporkan mengalami kerosakan dan sebanyak 128 batang pokok tumbang menghalang jalan raya serta menimpa struktur dan kereta.

 

 

“(Dan) sekiranya masih ada penduduk yang memerlukan bantuan, segeralah memaklumkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing atau skuad MPSP yang berdekatan.

 

 

“Pihak kami akan membantu membuat pembersihan termasuk membuat kutipan sisa yang boleh menimbulkan kacau ganggu dan keutamaan adalah kepada yang bakal menyambut Hari Raya Aidiladha esok,” jelasnya.

 

 

Keadaan di bahagian pulau

Bagi kawasan di bawah pentadbiran MBPP, Tung Seang memaklumkan bahawa pihaknya masih menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas dengan kekuatan anggota seramai 450 orang.

 

AR. Yew Tung Seang.

“Pihak kami juga memantau struktur jejantas di Green Lane (Jalan Masjid Negeri) dan kerja-kerja membuang bahagian yang rosak termasuk bumbung jejantas tersebut serta pokok yang tumbang turut dilakukan.

 

 

“(Dan) pihak kami masih melakukan kerja-kerja pembersihan sehingga selesai semua,” katanya sambil memuji dan menzahirkan penghargaan kepada anggota dan kakitangan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan sejak awal pagi.

 

 

Ditanya mengenai keadaan di Bukit Bendera sama ada kejadian taufan menjejas laluan kereta api funikular, menurut Tung Seang buat masa ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan atau insiden melibatkan trek laluan daripada pihak Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC).

 

 

Dalam pada itu, dilaporkan dua pusat pemindahan sementara telah dibuka di daerah Seberang Perai Tengah iaitu di Masjid Kuala Juru, membabitkan empat keluarga dan Dewan KAFA Kuala Juru (dua keluarga). Manakala di daerah Timur Laut, 20 orang terjejas di Kampung Hashim Yahaya, Datuk Keramat dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : CHAN KOK KUAN