MEDAN – Selepas dua tahun, Pulau Pinang kembali menyertai Pekan Raya Sumatera Utara (PRSU) dengan membawa misi memperkukuh jaringan perdagangan, pelancongan, pelaburan dan pendidikan bersama wilayah Sumatera Utara menerusi penyertaan yang lebih komprehensif berbanding edisi terdahulu.
Pavilion Pulau Pinang pada PRSU edisi ke-50 yang berlangsung dari 3 Julai hingga 2 Ogos dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan sokongan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) sebagai platform mempromosikan produk tempatan, pelancongan, pelancongan kesihatan, pendidikan, hartanah serta peluang pelaburan kepada pasaran Indonesia.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, penyertaan kali ini bukan lagi tertumpu kepada promosi makanan semata-mata, sebaliknya mengetengahkan keseluruhan kekuatan ekosistem ekonomi Pulau Pinang.
Menurut beliau, selain memperkenal makanan ikonik negeri, pavilion tersebut turut mempromosikan sektor pelancongan, pelancongan kesihatan, pendidikan tinggi, hartanah, sukan dan peluang pelaburan sepanjang tempoh sebulan penganjuran PRSU.
“Kita mahu menjadikan pavilion ini sebagai platform mempromosikan keseluruhan ekosistem Pulau Pinang, bukan sahaja produk tempatan, malah peluang pelaburan, pendidikan tinggi, perkhidmatan kesihatan dan pelancongan kepada masyarakat di Sumatera Utara,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran Pavilion Pulau Pinang di sini, Ahad lalu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; dan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.
Mengulas lanjut, Choon Aik berkata bahawa hubungan Pulau Pinang dan Sumatera Utara yang terjalin sejak tahun 1983 perlu terus diperkukuh menerusi kerjasama ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau berkata, selain penyertaan dalam pameran, delegasi Pulau Pinang turut mengadakan pelbagai pertemuan bersama agensi kerajaan, pemain industri dan syarikat dari Sumatera Utara serta Aceh bagi meneroka peluang kerjasama baharu.
“Antara program penting adalah sesi padanan perniagaan di Konsulat Jeneral Malaysia di Medan yang menghimpunkan syarikat dari Pulau Pinang dan Indonesia.
“Kita berharap sesi ini dapat diterjemahkan kepada kerjasama serta urus niaga yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Menurut beliau, walaupun Pulau Pinang terkenal sebagai hab industri elektrik dan elektronik (E&E), pasaran Sumatera Utara mempunyai potensi besar untuk sektor makanan dan minuman, pelancongan kesihatan serta industri perkhidmatan.
Jelasnya, permintaan terhadap produk makanan, perkhidmatan kesihatan dan pelancongan di wilayah itu semakin meningkat, justeru sektor berkenaan akan terus diberi penekanan termasuk melalui promosi khas oleh agensi berkaitan sepanjang PRSU berlangsung.
Dalam perkembangan sama, Choon Aik memaklumkan kira-kira 20 usahawan Pulau Pinang dipilih menyertai PRSU secara bergilir sepanjang empat minggu penganjuran daripada lebih 60 syarikat yang menyatakan minat.
Katanya, pemilihan dibuat berdasarkan tahap kesediaan syarikat untuk menembusi pasaran eksport, termasuk memiliki pensijilan yang diperlukan seperti pensijilan halal.
“Kita bukan sekadar membawa produk ke Indonesia, tetapi mahu membantu syarikat Pulau Pinang mengembangkan pasaran mereka secara mampan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bercadang memanfaatkan Pavilion Pulau Pinang di Medan dengan menyertai lebih banyak pameran anjuran Kerajaan Sumatera Utara sepanjang tahun bagi memastikan promosi Pulau Pinang di Indonesia dapat dilaksanakan secara berterusan.
Dalam pada itu, Choon Aik memberitahu bahawa PRSU yang berlangsung sehingga 2 Ogos dijangka menerima kira-kira 300,000 pengunjung, sekali gus menjadi antara platform promosi dan perdagangan terbesar di Sumatera Utara.

Selain mempromosikan sektor pelancongan, pendidikan, pelaburan dan pelancongan kesihatan, difahamkan Pavilion Pulau Pinang turut menampilkan replika pelbagai makanan ikonik negeri seperti nasi kandar, pasembor, mee Jawa, mee sotong, mee udang, roti Benggali dan roti canai terbang.
Gambar: SIEW CHIA EN