GEORGE TOWN – Sebanyak 5,791 ekor gagak berjaya ditembak mati dalam tempoh tiga bulan bermula April hingga Jun 2026 hasil operasi agresif yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Ahli Majlis bagi MBPP, Darren Lee Seng Wai berkata jumlah terbaharu itu menyumbang kepada keseluruhan 166,211 ekor gagak yang telah dimusnahkan sejak operasi kawalan menembak tersebut mula dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dari tahun 1998 sehingga kini.
Semasa dihubungi Buletin Mutiara, beliau turut memaklumkan bahawa program kawalan populasi burung gagak dan merpati ini dilaksanakan secara berterusan di bawah seliaan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam serta Jawatankuasa Kecil Kesihatan Persekitaran.
“Langkah tersebut dijalankan secara berhemah dan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, dengan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan awam serta kesihatan penduduk,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kesihatan Persekitaran MBPP di sini pada 8 Julai 2026.
Selain operasi menembak gagak, beliau menjelaskan bahawa MBPP turut memperketatkan tindakan undang-undang ke atas aktiviti pemberian makanan kepada burung merpati di kawasan bandar raya yang menyumbang kepada isu kebersihan.
“Sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2026, sebanyak 83 kompaun telah dikeluarkan di bawah Seksyen 47 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 terhadap individu yang dikesan memberi makanan kepada unggas berkenaan, yang mana tindakan penguatkuasaan akta ini sebenarnya telah bermula sejak Mac 2025 lagi,” jelasnya lagi.
Susulan itu, beliau berkata MBPP amat mengharapkan kerjasama padu daripada orang ramai untuk tidak memberi makanan kepada burung bagi mengelakkan lonjakan populasi yang boleh menjejaskan kebersihan persekitaran.
“Penduduk bandar raya juga digesa supaya menguruskan sisa makanan harian dengan lebih baik, mematuhi arahan pihak berkuasa serta tidak melakukan sebarang tindakan vandalisme termasuk merosakkan perangkap gagak yang disediakan oleh pihak Majlis,” tegas beliau.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD