Pulau Pinang kini destinasi pelaburan premium – CEO PDC

Admin
b959eea6 a978 498f b8a4 6bb30b8ad1a4 AZIZ Bakar dalam sesi sulung audio siar di Bangunan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dekat Bayan Lepas pada 29 Januari 2026.

BAYAN LEPAS – Dalam tahun baharu 2026, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bertekad mengorak langkah lebih drastik bagi memposisikan negeri ini sebagai ‘Nilai Premium Malaysia’.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDC, Dato’ Aziz Bakar berkata, pendekatan itu bertujuan mengekalkan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan utama pelabur serantau, meskipun berdepan persaingan sengit antara negeri dan negara serta ekosistem ekonomi global yang semakin mencabar.

“PDC berhadapan persaingan hebat antara negeri dan negara dalam menarik pelabur.

“Sehubungan itu, strategi utama kami adalah memposisikan Pulau Pinang sebagai ‘Nilai Premium Malaysia’ dengan tawaran utiliti siap, kemudahan plug-and-play, proses kelulusan pantas serta pengurusan kos yang berkesan, supaya negeri ini kekal kompetitif di peringkat nasional dan serantau,” katanya ketika sesi sulung audio siar di Bangunan PDC dekat sini, pada 29 Januari 2026.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa PDC komited membangunkan Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP3); Bandar Cassia Technology Park (BCTP) dan Penang Science Park South (PSPS) bagi menampung pertumbuhan industri teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta sektor digital.

Selain itu, katanya, PDC turut memperkukuh sektor Global Business Services (GBS) menerusi projek GBS @ Technoplex dan GBS By The Sea.

“PDC memainkan peranan utama dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai hab GBS berimpak tinggi dengan membangunkan kemudahan moden untuk syarikat digital, automasi, R&D, analitik serta reka bentuk cip bersepadu (IC Design).

“Inisiatif ini menyokong penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di samping mengukuhkan ekosistem digital dan automasi negeri,” jelasnya.

Bagi tahun 2026, beliau turut memaklumkan bahawa PDC akan menyokong pelaksanaan fasa pertama Projek Perumahan Mampu Milik Terbesar Negara di Seberang Jaya dan Batu Kawan, melibatkan lebih 37,000 unit kediaman.

Menurutnya, projek berkenaan akan menggunakan teknologi Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC) bagi memastikan pembinaan yang lebih pantas, berkualiti dan terjamin.

“Projek ini bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran, malah menyokong dasar pemilikan rumah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Visi Penang2030,” katanya.

Mengakhiri sesi bicara wacana tersebut, Aziz berkata, PDC telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi tahun 2026 bagi mengukur pencapaian agensi negeri dari segi pertumbuhan ekonomi dan pelaburan; pembangunan hartanah dan infrastruktur; tadbir urus serta prestasi kewangan; selain impak sosial dan komuniti.

Sebagai rekod, PDC merupakan agensi pembangunan negeri yang ditubuhkan pada 1969, bertanggungjawab merancang serta melaksanakan pembangunan perindustrian, hartanah dan infrastruktur strategik di Pulau Pinang.

Sejak penubuhannya, PDC memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri, menarik pelaburan berkualiti serta memastikan pembangunan mampan yang seimbang dengan keperluan sosial dan kesejahteraan rakyat.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT