Pulau Pinang komited gembleng sumber jayakan pelan vaksinasi ‘dipercepatkan’

Admin
KETUA Menteri (belakang, dua dari kiri) diiringi Sr. Rozali Mohamud (kiri sekali) menyantuni salah seorang warga emas yang bakal menerima vaksin di PPV SPU dekat Dewan Milenium Kepala Batas di Bertam menjelang tengah hari ini.

BERTAM – Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ‘dipercepatkan’ telah dibentangkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi baru-baru ini dengan sasaran baharu iaitu proses pemberian vaksin dijangka selesai pada hujung Oktober ini.

KETUA Menteri

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya di peringkat negeri akan berusaha membuat persiapan untuk menggembleng segala sumber demi memastikan semua penduduk Pulau Pinang segera memperoleh dos vaksin dalam tempoh baharu yang disasarkan.

“Menteri telahpun umumkan, oleh kerana bekalan vaksin sudah dipercepatkan untuk sampai ke Malaysia untuk tujuan vaksinasi bukan sahaja penduduk Pulau Pinang, malah (populasi) dalam negara, maka Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diawalkan dari bulan Disember kepada Oktober (2021).

“Maka, dengan tarikh baharu ini dan rancangan yang dipercepatkan ini, kita (Pulau Pinang) perlu lihat bagaimana untuk menggembleng segala sumber bagi mencapai matlamat (bersama) berkaitan,” jelasnya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dekat Dewan Millenium Kepala Batas di sini pada 5 Jun 2021.

Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noor Zainy Mohd. Noor dan Ketua PPV SPU, Dr. Yusnita Yusof.

Persiapan sumber di peringkat negeri, menurut Kon Yeow, termasuk mewujudkan mungkin dua buah PPV di setiap daerah selain menggembleng sektor perkhidmatan kesihatan bukan kerajaan seperti hospital serta klinik-klinik swasta bagi mempercepatkan program pemberian vaksin kepada barisan utama ekonomi (economy frontliners).

“Selain menambah PPV, yang (PPV) sedia ada boleh meningkatkan bilangan (penerima vaksin harian)

“Keduanya, mungkin ada klinik atau hospital swasta yang dijadikan pusat pemberian vaksin bagi membantu mencapai matlamat itu,” ulasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi sambil memberitahu bahawa sejumlah petugas juga diperlukan bagi menjayakan pelan berkenaan.

DR. Yusnita Yusof

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut memberitahu bahawa kira-kira 60 peratus populasi Pulau Pinang ketika ini direkodkan telah mendaftarkan diri sebagai pemohon vaksin menerusi aplikasi MySejahtera, sekali gus meletakkan negeri ini antara negeri tertinggi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Yusnita memberitahu bahawa sejak PPV SPU dibuka pada April lepas, purata pemberian vaksin harian adalah kira-kira 1,400 orang sungguhpun kapasiti pengoperasian di sini boleh menampung sehingga 2,000 orang kini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS