Vaksinasi ‘economic frontliners’ melalui program khas libatkan sumber swasta

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang mengadakan perbincangan bersama-sama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyediakan program vaksinasi khas bagi ‘economic frontliners’.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa melalui program khas tersebut, hampir 300,000 ‘economic frontliners’ di negeri ini akan menerima suntikan vaksin menggunakan sumber daripada sektor swasta.

“Langkah ini adalah untuk membolehkan sektor industri mempunyai sistem vaksinasi tersendiri dan tidak lagi bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), sebaliknya menggunakan sumber luar melibatkan sektor swasta.

Ketua Menteri meninjau proses pendaftaran suntikan vaksin dekat PPV SP Arena sebentar tadi.

“Semua inisiatif ini sedang dirancang dan akan diumumkan kepada masyarakat untuk membolehkan mereka melihat apa yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan seterusnya memainkan peranan masing-masing melalui pendekatan ‘whole-of-government serta ‘whole-of-society’,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Seberang Perai Arena (SP Arena) di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Abdul Razak Jafaar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta beberapa wakil JKNPP.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa tiga cabaran besar perlu diatasi oleh Kerajaan Negeri untuk membolehkan Pulau Pinang mencapai sasaran imuniti kelompok pada 31 Oktober ini adalah bekalan vaksin terjamin, penambahan lebih banyak PPV serta tenaga kerja yang mencukupi.

SP Arena merupakan PPV bersaiz sederhana yang mampu menampung kapasiti 800 hingga 1,000 dos suntikan vaksin sehari.

“Oleh itu, pada hari Selasa (8 Jun 2021), kita akan lihat bagaimana kita dapat menyediakan PPV dan sumber tenaga mencukupi termasuk sukarelawan serta lain-lain kemudahan untuk menyokong pelan yang dipercepatkan sebagaimana diumum oleh menteri baru-baru ini,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Justeru, beliau menyeru agar lebih banyak hospital serta klinik swasta tampil memberikan kerjasama dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan menawarkan premis masing-masing sebagai PPV.

“Kerajaan Negeri sudah melantik enam hospital swasta, jadi kita seru hospital dan klinik swasta di negeri ini untuk tampil ke hadapan bagi jayakan rancangan ini.

“Mereka boleh jadikan klinik masing-masing sebagai PPV bersaiz kecil yang mana sebanyak 50 hingga 100 dos suntikan vaksin diberikan kepada rakyat setiap hari,” jelasnya.

Salah seorang warga emas yang baru selesai menerima suntikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa Pulau Pinang telah merekodkan seramai 828,582 atau 59.8 peratus orang yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin sehingga 3 Jun 2021.

“Saya percaya kita sudah mencapai 60 peratus sehingga semalam, dan Pulau Pinang kini menjadi antara negeri yang ke hadapan.

“Sementara itu, jumlah yang telah divaksin pula sehingga 3 Jun lalu adalah seramai 103,627 orang diberi bagi dos pertama dan telah melengkapkan dos kedua (73,607).

“Namun begitu, kita masih perlu memberi keyakinan kepada rakyat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok sebagaimana dirancangkan,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING