Pulau Pinang komited rapatkan jurang gender, libat wanita – TKM1

Admin
SAF kepemimpinan Kerajaan Negeri merakamkan gambar kenang-kenangan dengan para peserta Bengkel Pembangunan Kapasiti Sidang Wanita Pulau Pinang di sini tadi.

PERAI – Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Harapan hari ini senantiasa komited dalam merapatkan jurang gender demi memastikan lebih ramai wanita terlibat pada peringkat membuat keputusan dasar di Pulau Pinang.

 

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyampaikan amanat lalu menyempurnakan acara perasmian bengkel di sini tadi.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa ketika ini peratusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang dalam kalangan wanita hanya 15 peratus berbanding 85 peratus lelaki.

“Peratusan (Ahli Parlimen Wanita) di Dewan Rakyat juga dalam lingkungan yang sama iaitu 14.9 peratus walaupun peratus penduduk wanita dan lelaki agak sama rata, 50 nisbah 50.

“(Dan) melalui agenda pemerkasaan wanita dengan sasaran 30 peratus gender itu terlibat dalam proses membuat keputusan di negeri ini, mungkin pada masa hadapan boleh dinaikkan sehingga 50 peratus; kenapa mesti dikekalkan 30 peratus sahaja.

“Sehubungan itu, kita (Kerajaan Negeri) senantiasa komited dalam usaha-usaha merapatkan jurang gender ini agar tiada yang terpinggir,” jelasnya semasa merasmikan Bengkel Pembangunan Kapasiti Sidang Wanita Pulau Pinang di Hotel Ixora, Perai pada 23 Oktober 2021.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang turut berucap pada acara ringkas tersebut yang diadakan dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Turut serta ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

(Dari kiri) LIM Siew Khim, Chong Eng, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Ong Bee Leng semasa acara perasmian pembukaan Bengkel Pembangunan Kapasiti Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 yang berlangsung di Hotel Ixora, Seberang Jaya pada pagi ini.

Di samping itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti turut berharap agar usaha PWDC sebagai agensi negeri dalam memartabatkan gender wanita melalui Sidang Wanita Pulau Pinang menjadi model untuk negeri-negeri lain.

“Kerajaan Negeri Sembilan melalui Power House Wanita Gemilang (PH GEM) telah melancarkan Sidang Wanita Negeri Sembilan… yang mana PWDC telah dijemput untuk mengadakan sesi perkongsian pengalaman.

“Ini menunjukkan agenda pemerkasaan wanita kita (di Pulau Pinang) telah membuka mata dan mendapat perhatian di negeri lain,” katanya sambil memberitahu bahawa Pulau Pinang sedia saling kongsi amalan terbaik dengan negeri-negeri lain.

 

GAMBAR para peserta Bengkel Pembangunan Kapasiti Sidang Wanita Pulau Pinang.
CHONG Eng

Sebelum pada itu, Chong Eng memberitahu Sidang Wanita dijalankan dalam empat fasa saringan yang mana 107 daripada 275 pemohon berjaya menyertai Fasa Dua Sidang Wanita.

“Bengkel Pembangunan Kapasiti Sidang Wanita 2021 merupakan saringan yang terakhir untuk memilih 40 perwakilan wanita yang akan bersidang pada hari kemuncak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, kelak,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Chong Eng berharap agar lebih ramai wanita atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masing-masing berani menawarkan diri kepada Kerajaan Negeri untuk ditemu duga sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atau Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), sebelum tarikh tutup pada 15 November depan.

Beliau turut berharap pada masa hadapan lepasan Sidang Wanita Pulau Pinang dapat menubuhkan kelab serta mengkoordinasi sendiri persidangan berkaitan tanpa melibatkan sokongan secara langsung daripada Kerajaan Negeri dan PWDC.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR