Pulau Pinang lantik 400 belia sebagai JBPP

Admin
BARISAN pemimpin Kerajaan Negeri hari ini merakamkan gambar kenang-kenangan dengan sebahagian anggota yang baru menerima watikah pelantikan sebagai ahli Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) di KOMTAR pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada pagi ini menyampaikan surat watikah pelantikan kepada 400 Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) meliputi kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).

KETUA Menteri

Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa pihaknya berharap mereka yang dilantik dapat bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) serta Kerajaan Negeri hari ini merealisasikan agenda ‘mereformasi institusi’ di Pulau Pinang.

Di samping itu, beliau yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong berkata bahawa pentadbirannya juga berharap kesemua JBPP akan memainkan peranan sebagai ‘mini PYDC’ (Perbadanan Belia Pulau Pinang) di KADUN masing-masing.

“Kita (Kerajaan Negeri) lihat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan terbaru JBPP adalah bagi memperkasakan masyarakat bagi mencapai agenda ‘institutional reform’.

“Jadi, saya berharap MPKK, JPWK dan JBPP dapat memainkan fungsi ini secara berkesan (manakala) sekalian ADUN perlu menilai secara jujur – adakah platform baharu ini (JBPP) dapat membantu (sekalian) Yang Berhormat dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab di KADUN masing-masing.

“Di samping itu, sepintas lalu, saya melihat JBPP boleh berperanan sebagai ‘mini PYDC’ di KADUN masing-masing,” jelasnya.

Sebelum pada itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana meluluskan peruntukan tambahan hampir RM2.5 juta bagi menggerakkan fungsi serta operasi JBPP bagi tempoh kepimpinan yang berkuat kuasa pada 1 Mei 2022 hingga 31 Disember 2023.

Sementara itu, Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling pula memberitahu bahawa JBPP ditubuhkan dengan memberi fokus kepada agenda penyertaan serta perkembangan belia di Pulau Pinang.

“Saya berharap JBPP akan dapat memperbanyakkan lagi program-program demi memperkasakan orang muda kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa PYDC juga berharap agenda pemerkasaan belia yang akan dilaksanakan menerusi JBPP adalah termasuk berkaitan kerjaya, pendidikan, latihan dan pembangunan, kepimpinan, kesukarelawan, seni dan budaya, e-sukan serta sebagainya.

“Penuhuhan JBPP ini akan dapat mengasah bakat kepimpinan mereka dan juga mengembangkan potensi diri mereka dengan lebih menyeluruh dan signifikan,” ulasnya.

Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussein; ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan beberapa ADUN serta PPK turut menyertai majlis ringkas tersebut.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Lip Chee memberitahu peruntukan tambahan hampir RM2.5 juta tersebut akan disalurkan dalam bentuk elaun berkaitan demi memastikan operasi JBPP berjalan lancar.

“(Elaun bulan) RM700 kepada Pengerusi (JBPP); Setiausaha RM600; Bendahari RM300 dan RM50 elaun mesyuarat kepada ahli jawatankuasa lain.

“(Peringkat KADUN akan mendapat) peruntukan RM10,000 setiap tahun untuk menganjurkan program dengan menghantar kertas cadangan kepada PYDC,” jelasnya.

Difahamkan, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri memutuskan untuk menubuhkan JBPP pada 2 Mac 2022.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN