Pakai pelitup muka ‘benteng terakhir’ semasa musim perayaan – Ketua Menteri

KETUA Menteri (kanan) diiringi Soon Lip Chee dalam sidang media berkaitan di KOMTAR pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Menjangkakan lambakan pengunjung domestik dan pelancong asing ke Pulau Pinang sempena cuti Hari Pekerja (1 Mei 2022) dan cuti Hari Raya Aidilfitri, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap semua pihak berkenaan dapat terus memakai pelitup muka.

Beliau berkata demikian ekoran pengumuman sebelum ini berhubung pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) tertentu dan penguatkuasaannya berkuat kuasa esok.

“Kita menegaskan bahawa rakyat perlulah menghormati SOP (yang telahpun dilonggarkan) ini… kita menggalakkan pemakaian pelitup muka walaupun di kawasan terbuka.

“Kerajaan Negeri semalam telahpun mengeluarkan satu kenyataan untuk mengingatkan rakyat bahawa pemakaian pelitup muka merupakan ‘benteng’ yang terakhir dan paling berkesan,” tegasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Komunikasi selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) di Komtar pada 30 April 2022.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling turut menyertai sidang media tersebut.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut mengingatkan seluruh rakyat negeri terutama para pemegang taruh berwajib supaya menjaga imej Pulau Pinang sebagai ‘negeri pelancongan’ sepanjang tempoh musim perayaan pada kali ini.

KETUA Menteri menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan 400 Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Sesi 2022/2023 di KOMTAR pada pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut mengumumkan pembekuan cuti sebilangan besar kakitangannya bagi membantu pihak berkuasa negeri menjalankan aktiviti pemantauan SOP sepanjang musim perayaan ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD