Pulau Pinang lokasi himpun semua jenama durian negara

Admin
53325c33 1d0b 4a13 86e8 39efd7664f19

GEORGE TOWN – Dalam tempoh dua tahun, sebuah pusat pertanian yang bakal dikenali Sedusun Valley akan siap dibangunkan dan berfungsi sebagai hab penyelidikan, pendidikan serta penjenamaan durian tempatan ke pasaran lebih luas, termasuk antarabangsa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan berkaitan merupakan satu usaha besar yang mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sektor pertanian berasaskan durian serta melonjak martabat produk hasil durian Pulau Pinang.

“Selain itu, projek dusun durian di Relau ini juga akan menjadi sebuah pusat pendidikan untuk mengumpulkan segala jenis atau jenama durian dalam negara.

“Malah, melalui projek tersebut juga, pusat pertanian di Relau ini juga akan memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan melalui pendidikan agro, penyelidikan baharu serta sokongan kepada pekebun-pekebun kecil di seluruh negeri.

“Maka dengan ini, Pulau Pinang bakal menjadi lokasi yang menghimpunkan semua jenis serta jenama durian dari seluruh Malaysia dalam satu lokasi,” ujarnya ketika berucap merasmikan Pesta Durian Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 di Dataran Queensbay Mall dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, tuan rumah, Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi yang juga Ahli

Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerjak, Fahmi Zainol; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar; Pengarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan dif-dif jemputan lain.

bfac3ec9 8300 4ccf af71 88c2df693946

Difahamkan Pesta Durian Pulau Pinang Tahun 2025 tersebut adalag bermula pada 26 Jun lalu sehingga 29 Julai ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi mahu menjenamakan semula durian yang masih belum dikenali ramai agar lebih banyak jenis durian tempatan dapat diketengahkan di pasaran eksport mahupun domestik dengan nilai yang lebih tinggi.

“Yang berjenama dan diketahui mungkin 10 hingga 20 sahaja, sedangkan lebih 200 jenis telah didaftarkan.

“Jika kita dapat mempromosikan jenis-jenis yang belum memasuki pasaran, kita boleh perluaskan eksport dan meningkatkan nilai ekonomi berasaskan durian-durian tempatan,” ulasnya lanjut.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT