Pulau Pinang luncur e-buku garis panduan piawaian terperinci sarang burung walit, pertama di dunia

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang bukan sahaja menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki garis panduan piawaian terperinci bagi industri sarang burung walit, malah juga pertama di dunia.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, penerbitan buku elektronik atau e-buku berkenaan bertujuan memperkasakan lagi kepakaran dan ilmu pengetahuan dalam industri pemprosesan, perladangan serta dagangan sarang burung walit.

“Penerbitan e-buku yang mempunyai 85 halaman ini adalah sebagai satu rujukan yang seragam untuk industri sarang burung walit di Pulau Pinang, dan ia yang pertama seumpamanya di dunia.

“Selain mengandungi maklumat mengenai pembaharuan tatacara terbaik untuk meningkatkan mutu produk berasaskan sarang burung walit, e-buku ini juga dilihat untuk memastikan industri ini kekal berdaya saing sama ada melalui penyelidikan dan pembangunan teknologi pemprosesan sehinggalah pengurusan produk,” ujarnya pada sidang media sejurus peluncuran Garis Panduan Seragam Sarang Burung Walit Mentah untuk Dagangan (G.A.R.U.D.A) Edisi Pertama di Komtar tadi.

 

DR. Afif Bahardin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang, Dr. Anun Man dan Setiausaha Agung Pertubuhan Usahawan Industri Desa, John Ooh Sin Hwa.

 

Dalam pada itu, menurut Afif, industri sarang burung walit merupakan industri yang pesat membangun dalam bidang pertanian negara dengan jumlah eksport negara mencecah RM1.317 bilion pada tahun 2018.

 

“Sebanyak 1,783.27 kilogram (kg) sarang burung walit bersih dengan nilai RM16.35 juta telah dieksport ke negara China, Hong Kong, Taiwan, Laos, Korea dan Amerika Syarikat tahun lalu yang mana 80 peratus nilai eksport adalah ke negara China.

 

“Di Pulau Pinang, selain menjadi satu industri yang menguntungkan kerana berupaya mengeluarkan 4,733kg sarang burung walit tahun lalu, ia juga menjadi daya tarikan pelancong ke negeri ini.

 

“Selaras dengan itu, komitmen Kerajaan Negeri untuk terus membangunkan sektor pertanian Pulau Pinang seperti yang didasarkan dalam visi Penang2030 akan diteruskan khasnya melalui MMK Pertanian dan Industri Asas Tani.

“(Dan) Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pertubuhan untuk saling bertukar pandangan dalam usaha memajukan sektor pertanian dan industri asas tani di negeri ini,” katanya yang turut berharap agar para pengusaha, peladang serta pedagang sarang burung walit di negeri ini dapat memanfaatkan sepenuhnya inisiatif yang dilaksanakan dari masa ke masa.

 

Dalam sidang media sama, Pertubuhan Usahawan Industri Desa turut menyempurnakan pemberian hak cipta dan harta intelek G.A.R.U.D.A kepada JPV Pulau Pinang dengan anggaran nilai RM80,000.

Penerbitan e-buku ini boleh diperoleh secara percuma dalam format pemacu pena (pendrive) atau menggunakan kaedah kod QR.

Difahamkan, terdapat 290 premis perladangan sarang burung walit di Pulau Pinang dengan purata pengeluaran adalah sebanyak 1.36kg bagi setiap premis setiap bulan.

Pulau Pinang juga mempunyai pusat pemprosesan sarang burung walit mentah di kelima-lima daerah di negeri ini yang mana dilihat dapat memberi nilai tambah terhadap industri berkaitan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN