Pulau Pinang mampu dimajukan sebagai hab halal koridor utara

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

KETUA Menteri menerima cenderahati berupa matawang dirham daripada salah seorang pempamer perbankan dan kewangan dari Kelantan bersempena penganjuran PIHEC 2012 di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri menerima cenderahati berupa  matawang dirham daripada salah seorang
pempamer perbankan dan kewangan dari Kelantan
bersempena penganjuran PIHEC 2012 di sini baru-baru ini.

BAYAN BARU – Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Penang International Sport Arena – PISA) gamat dengan kehadiran kira-kira 18,000 pengunjung ekoran penganjuran Penang International Halal Expo and Conferences 2012 (PIHEC) yang diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula 24 Februari sehingga 26 Februari lalu di sini baru-baru ini.

Selain persidangan halal berkisarkan tentang produk penjagaan diri iaitu “Emerging Concerns of the Global Personal Care and Cosmetic Industry”, buat julung kalinya, persidangan dan ekspo anjuran kali ketiga turut diserikan dengan Konsert Bisikan Hati yang menampilkan kumpulan Hijjaz, Mawi, Ustaz Akhil Hayy dan penampilan istimewa Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa PIHEC 2012, Abdul Malik Abul Kassim yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, PIHEC 2012 telah berjaya menarik lebih dari 160 pempamer yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan logistik halal, malah, turut menawarkan rangkaian penjagaan kulit, kosmetik, produk sejuk beku, produk-produk makanan dan rempah-ratus, perbankan dan kewangan, pelancongan dan hospitaliti serta farmaseutikal yang bukan sahaja suci malah diyakini ‘halalan toyibban’.

“Pulau Pinang mempunyai kedudukan yang strategik untuk dimajukan sebagai hab halal bagi Koridor Utara. Selain menawarkan infrastruktur bertaraf global, Pulau Pinang yang turut berhasrat untuk menjadi hab halal serantau turut mempunyai logistik sistematik, rangkaian bekalan maju dan pautan ke pasaran global yang kukuh,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Abdul Ghani Ahmad; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Datuk Rosli Jaafar; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad; Timbalan Mufti, Ustaz Salahuddin Ghazali dan delegasi-delegasi tempatan dari Kedah Darul Aman, Selangor Darul Ehsan dan Kelantan Darul Naim serta delegasi-delegasi antarabangsa dari Indonesia, Iran, Belgium, Thailand dan Pakistan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam ucapan perasmian beliau menyatakan bahawa dianggarkan sejumlah USD$ 3.0 trilion dapat dijanakan melalui penawaran dan penjualan perkhidmatan dan produk halal di rantau Asia.

“Justeru, Pulau Pinang sekali lagi ingin memimpin dalam merealisasikan visi untuk menjadi hab halal di rantau ini. Kita mempunyai prasarana yang terbaik dan tenaga kerja cekap dan efisien,” katanya.

Beliau menambah, statistik jumlah pendaftaran syarikat-syarikat halal di Pulau Pinang telah meningkat 500% sejak 2008 iaitu 55 buah syarikat (2008) kepada 324 buah syarikat (sehingga 31 Januari 2012).

“Selain itu, jumlah pengunjung yang mengunjungi PIHEC juga bertambah saban tahun iaitu dari 9,000 pengujung (2010), ke 16,000 pengujung (2011) dan dianggarkan kira-kira 18,000 pengunjung pada tahun ini,’’ kata Guan Eng.