Pulau Pinang No.1 dalam pelaburan sektor pembuatan dua tahun berturut-turut

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kejayaan Pulau Pinang sebagai negeri nombor satu dalam pelaburan sektor pembuatan selama dua tahun berturut-turut sejak 2010 melayakkan 1.6 juta anak negeri berkenaan menerima penghargaan daripada seluruh rakyat di negara ini.

Demikian kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng sebagai reaksi pada pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad baru-baru ini.

Mustafa mengumumkan Pulau Pinang mengungguli pelaburan sektor pembuatan selama dua tahun dengan RM9.1 bilion pada tahun lepas walaupun Kerajaan Negeri mensasarkan RM6.1 bilion sahaja.

Pada tahun 2010 pula, Pulau Pinang mencipta rekod paling unggul dalam sejarah sektor pelaburan tanah air, iaitu sebanyak RM12.2 bilion.

“1.6 juta rakyat Pulau Pinang berhak mendapat penghargaan bersejarah ini, pencapaian Pulau Pinang menjadi nombor satu bagi tahun kedua berturut-turut merupakan satu yang tidak diduga,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Rekod kejayaan itu katanya, adalah hasil dari pentadbiran “Cekap, Akauntabel dan Telus” (CAT) yang berdaya saing serta mengamalkan tender terbuka.

Selari dengan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus pada sektor-sektor kritikal
berpengetahuan intensif, berteknologi tinggi serta bernilai tinggi dalam elektronik, lampu LED, tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar, avionik, aeroangkasa, peranti perubatan dan bioteknologi.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri konsisten membina bakat-bakat baru yang berkualiti dalam kalangan pekerja selain memperhebat pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri berkenaan melalui pusat PKS yang siap dibina Jun depan.

Kategori baru “jumlah pelaburan” yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) menunjukkan Pulau Pinang tewas tipis kepada Sarawak disebabkan negeri jolokan “Bumi Kenyalang” itu menyebabkan Sarawak menerima rangsangan besar daripada pelaburan minyak dan gas.

Keseluruhan pelaburan Sarawak pada tahun lepas adalah sebanyak RM14.35 bilion manakala keseluruhan pelaburan Pulau Pinang adalah sebanyak RM14.038 bilion.

“Walaupun tidak mempunyai pelaburan dalam sektor utama (sumber bahan mentah seperti minyak dan gas), Pulau Pinang hanya kehilangan sebanyak RM300 juta kepada Sarawak,” ujar Guan Eng.

Disebabkan itu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa kekuatan Pulau Pinang dalam sektor perkhidmatan menyumbang lebih 50 peratus pada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020 kelak, walaupun negeri berkenaan tiada pelaburan dari sumber mentah seperti di Sarawak.

“Agensi berita US, Bloomberg pada Oktober 2011 telah menyifatkan pertumbuhan Pulau Pinang ke dalam ‘kejayaan terbesar ekonomi’ Malaysia, walaupun, Kerajaan Pusat memberi fokus kepada Johor dan Sarawak,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr. Lim Chong Eu serta partisipasi Mustapa dan MIDA dalam pelaburan sektor pembuatan di negeri berkenaan.