GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini memeterai Perjanjian Bekalan Air Pukal (BWSA) secara bersyarat dengan sebuah syarikat konsesi air dari Perak bagi menjamin bekalan air terawat di negeri ini untuk tempoh 40 tahun, bermula dari 2032 hingga 2072.
Perjanjian yang ditandatangani antara PBAPP dan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn. Bhd. (PAIP Perak) itu merupakan pencapaian penting di bawah Projek Air Perak-Pulau Pinang (P-PWP) yang bertujuan memastikan jaminan bekalan air jangka panjang kepada Pulau Pinang.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBAPP, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan perjanjian tersebut sebagai perjanjian air signifikan dalam sejarah bekalan air Pulau Pinang sejak pelaksanaan Skim Air Sungai Muda pada tahun 1973.
“Perjanjian P-PWP membolehkan Pulau Pinang memanfaatkan sumber air utama kedua bagi memenuhi keperluan masa depan.
“Ini merupakan langkah bersejarah dalam memastikan kecukupan dan keselamatan bekalan air negeri menjelang dekad 2030-an dan seterusnya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow menyatakan bahawa pelaksanaan perjanjian itu tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan pengesahan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), selain mendapat kelulusan pemegang saham PBA Holdings Berhad (PBAHB).
Beliau berkata, Pulau Pinang perlu mendapatkan sumber air tambahan memandangkan negeri ini tidak lagi mempunyai sumber air mentah utama baharu yang mampu dimanfaatkan menjelang tahun 2030-an.
Menurut beliau, penggunaan air di Pulau Pinang mencecah 865 juta liter sehari (MLD) pada tahun 2025 dan dijangka meningkat kepada 1,162 MLD atau lebih menjelang 2032, didorong oleh peluasan kilang serta pembangunan hartanah yang sedang dirancang.
“Pulau Pinang merupakan negeri yang pesat membangun dan pertambahan penduduk serta kemajuan sosioekonomi pada masa hadapan memerlukan bekalan air yang lebih banyak.
“Justeru, pembangunan pesat ini perlu disokong oleh sumber air yang mencukupi serta boleh dipercayai demi manfaat rakyat,” jelasnya.



Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa di bawah P-PWP, Perak bersetuju membekalkan antara 300 MLD hingga 500 MLD air terawat kepada Pulau Pinang.
“Bagi membolehkan bekalan itu disalurkan, sebuah Loji Rawatan Air baharu berkapasiti 500 MLD akan dibangunkan di Perak, lengkap dengan stesen pam, kolam air terawat, saluran paip berskala besar serta infrastruktur sokongan berkaitan.
“Keseluruhan sistem tersebut akan dibangunkan, dikendalikan dan diuruskan di Perak dengan kos pembangunan infrastruktur khusus itu dianggarkan berjumlah RM8.4 bilion,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa PBAPP tidak perlu menanggung sebarang perbelanjaan modal (CAPEX) bagi pembangunan infrastruktur tersebut kerana semua kos akan ditanggung oleh PAIP Perak, sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Perak yang baharu ditubuhkan.
“PBAPP juga tidak perlu membayar caj air mentah atau kos pengambilan tanah, selain tidak menanggung perbelanjaan operasi (OPEX) melibatkan tenaga kerja, operasi, penyelenggaraan atau pengurusan infrastruktur P-PWP di Perak,” ujarnya.
Di bawah perjanjian itu, Kon Yeow menyatakan PBAPP akan membayar caj kapasiti tahunan sebanyak RM210 juta kepada PAIP Perak untuk melunaskan secara berperingkat serta menyokong justifikasi pelaburan bagi membina, mengendalikan dan menyelenggara infrastruktur berkenaan.
“PBAPP turut akan membayar caj air terawat sebanyak RM1.70 bagi setiap meter padu (1,000 liter), yang tertakluk kepada semakan setiap tiga tahun.
“Komitmen pembelian minimum PBAPP ialah 300 MLD apabila bekalan bermula pada tahun 2032, dengan pilihan untuk meningkatkan kuantiti melalui notis enam bulan kepada PAIP Perak.
“Caj air terawat tersebut merangkumi bayaran air mentah, kos rawatan seperti tenaga, bahan api, bahan kimia dan tenaga kerja, serta kos mengepam 300 MLD hingga 500 MLD air terawat dari Perak Utara ke Seberang Perai Selatan (SPS),’’ jelasnya yang juga Pengerusi PBAPP dan PBAHB.
Kon Yeow menegaskan bahawa P-PWP bukan bertujuan menggantikan Sungai Muda di Seberang Perai Utara (SPU) sebagai sumber utama air mentah Pulau Pinang.
“Sebaliknya, bekalan air terawat tambahan itu akan menyokong pertumbuhan di SPS dan Seberang Perai Tengah (SPT) yang dijangka mencatat peningkatan permintaan susulan pertumbuhan penduduk dan pembangunan sosioekonomi.
“Malah, projek tersebut juga akan meningkatkan daya tahan Pulau Pinang terhadap perubahan iklim serta fenomena El Nino.
“Dengan pelaksanaan P-PWP, Pulau Pinang akan mempunyai dua sumber bekalan air utama dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada Sungai Muda, yang merupakan sumber air yang dikongsi bersama Kedah,’’ ulasnya.
Tambah Kon Yeow, membeli air terawat dari Perak mungkin tidak semurah menghasilkan air terawat sendiri di Pulau Pinang, namun tiada pilihan yang lebih murah.
“Perak mempunyai Sungai Perak sebagai sumber air bagi P-PWP, manakala Pulau Pinang tidak mempunyai sumber air mentah konvensional lain dalam negeri yang mampu menyokong pengeluaran antara 300 hingga 500 JLH air terawat,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : GAMUDA BERHAD