GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkukuh usaha memelihara serta memartabatkan warisan kebudayaan tidak ketara apabila sebanyak 35 item melibatkan seni budaya, makanan tradisional dan kepercayaan diwartakan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 [Enakmen 14].
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di sini pada 11 Mei 2026.
Menurut Hon Wai, daripada jumlah tersebut, tujuh item melibatkan warisan seni budaya manakala makanan tradisional (28) telah diwartakan sepanjang tahun 2026.
“Satu item warisan kepercayaan iaitu Perayaan Teong Guan Phor Thor kini masih dalam proses pewartaan.
“Semua item warisan kebudayaan tidak ketara yang telah diwartakan pada peringkat negeri berpotensi untuk disyorkan bagi pewartaan pada peringkat kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
“Malah, warisan terpilih juga boleh dipertimbangkan untuk pencalonan di bawah Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh UNESCO,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hon Wai turut menyokong usaha pencalonan Perarakan Chingay menerusi pencalonan bersama antara Malaysia dan Singapura yang telah dikemukakan kepada UNESCO pada Mac 2025.
“Sebagai makluman, usaha pencalonan Tarian Singa menerusi kerjasama Malaysia dan China turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri dan telah dikemukakan ke peringkat UNESCO pada tempoh sama.
“Malah, sebagai usaha memperluaskan pengiktirafan warisan tempatan ke peringkat antarabangsa, Kerajaan Negeri melalui pelbagai program dan festival terus meraikan kepelbagaian budaya negeri ini.
“Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk pertunjukan fesyen kebaya serta budaya sarapan pagi Malaysia sempena Penang Week di World Expo 2025 di Osaka, Jepun,” jelasnya lanjut.
Dalam pada itu, Hon Wai memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga terus menganjurkan Perarakan Chingay setiap tahun di George Town dan Butterworth selain menerima jemputan menyertai Singapore Chingay Parade pada tahun 2025 dan 2026.
“Pada masa sama, Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) kini sedang giat menganjurkan ‘Pameran Silat Siku 12’ bermula 3 Mac hingga 17 Mei 2026 di Cawangan Muzium No. 57, Jalan Macalister bagi memartabatkan seni mempertahankan diri tempatan,” katanya.
Difahamkan, penganjuran pameran tersebut turut menonjolkan silat sebagai sebahagian daripada warisan tidak ketara yang telah diiktiraf pada peringkat UNESCO.
Selain itu, Hon Wai memberitahu bahawa pelbagai warisan tidak ketara negeri turut diraikan menerusi penganjuran acara seperti George Town Festival, Butterworth Fringe Festival, Nibong Tebal Festival, Perayaan Hari Warisan George Town serta Hari Warisan Seberang Perai.
Antara warisan yang diwartakan termasuk :
1. Budaya Nasi Kandar
2. Budaya Kopitiam
3. Perarakan Chingay
4. Perayaan Thaipusam
5. Perayaan St. Anne
6. Bahasa Loghat Tanjong
7. Char Kue Kak
8. Kerabu Bihun
9. Mi Hokkien
10. Mi Jawa
11. Mi Sotong
12. Mi Udang
13. Nasi Kandar
14. Roti Benggali
15. Pasembor
16. Oh Chien
17. Seni Mempertahankan Diri Nillaikalakki Silambam
18. Perayaan Teong Guan Phor Thor (dalam proses)
19. Air Batu Campur (ABC)
20. Ais Kepal
21. Capati
22. Cendol
23. Char Kuay Teow
24. Kari Kapitan
25. Keema
26. Asam Laksa
27. Martabak
28. Masalodeh
29. Mi Goreng Mamak
30. Muruku
31. Penderam
32. Putu Mayam
33. Roti Canai
34. Teh Tarik
35. Tosai
36. Yong Tau Foo
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING & SIEW CHIA EN