Pulau Pinang perkenal pelbagai produk pelancongan baharu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Admin
whatsapp image 2026 05 12 at 10.00.47 am

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Penang Global Tourism (PGT) telah merangka pelbagai inisiatif strategik dalam memperkukuh penawaran sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pelbagai produk serta tarikan pelancongan baharu kini giat diperkenalkan hasil kerjasama agensi Kerajaan Negeri dan pihak swasta bagi menawarkan pengalaman lebih interaktif kepada pelancong.

Menurut beliau, antara produk pelancongan yang diketengahkan termasuk Galeri Automotif Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang; Galeri Arkeologi Guar Kepah; Ferringhi Bay; Penang Waterfront Convention Centre serta beberapa galeri warisan dan kebudayaan baharu di negeri ini.

“Turut diperkenalkan ialah produk-produk pelancongan seperti Penang River Cruise; Entopia by Night; Galeri Penang Hill@Edgecliff; Umi Umi dan Forest Island yang memberi penekanan kepada pengalaman pelancongan berasaskan warisan, budaya serta alam semula jadi.

“Pembangunan produk ini juga bertujuan menarik pelbagai segmen pelancong termasuk pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya ketika menjawab Soalan Lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Hon Wai menyatakan bahawa PGT turut mempergiat pelbagai usaha promosi di peringkat domestik dan antarabangsa menerusi kempen digital seperti Penang Travel Deals, penganjuran lawatan suai kenal (FAM trips) untuk media dan ejen pelancongan serta penyertaan dalam misi jualan dan pameran pelancongan.

“Promosi tersebut turut diperluaskan ke pasaran utama dan baharu termasuk China, Indonesia, Thailand, Singapura serta India.

“Malah, Kerajaan Negeri juga menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat penerbangan, agensi pelancongan dalam talian (online travel agency, OTA) dan rakan media bagi memperluaskan capaian promosi serta meningkatkan publisiti destinasi Pulau Pinang,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan, Hon Wai turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri bukan sahaja memperkenalkan produk pelancongan baharu di Bukit Bendera, malah turut memberi penekanan terhadap pembangunan pelancongan berasaskan pengalaman (experiencebased tourism).

“Di Bukit Bendera misalnya, terdapat pelbagai laluan pendakian dan produk pelancongan yang membolehkan pelancong menikmati pengalaman berbeza setiap kali berkunjung ke Pulau Pinang.

“Konsep experience-based tourism ini penting supaya pelancong bukan sekadar datang sekali, tetapi terdorong untuk datang berkali-kali kerana terdapat pelbagai pengalaman baharu yang boleh diterokai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hon Wai turut memaklumkan bahawa penganjuran festival muzik dan pelbagai acara kreatif terus diperkasa sebagai antara tarikan utama pelancongan negeri.

“Kita juga memberi perhatian terhadap kesesuaian lokasi dan bajet bagi penganjuran festival supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih efektif serta memberi impak kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

“Pulau Pinang juga akan terus menganjurkan pelbagai jenis festival bagi memastikan negeri ini kekal sebagai destinasi pelancongan yang aktif dan menarik sepanjang tahun,” tambahnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & SIEW CHIA EN