MEDAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan kebudayaan dengan Indonesia menerusi pelancaran Pavilion Pulau Pinang sempena Pekan Raya Sumatera Utara (PRSU) Ke-50, sekali gus mengangkat negeri ini sebagai pintu masuk strategik kepada peluang perniagaan, pelaburan dan inovasi di rantau ini.
Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, penyertaan Pulau Pinang dalam ekspo yang berlangsung selama sebulan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan Sumatera Utara dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, pelancongan perubatan serta pembangunan sosial.

Menurut beliau, hubungan istimewa antara Pulau Pinang dan Medan yang terjalin menerusi status Bandar Raya Berkembar (Sister City) sejak sekian lama menjadi asas kukuh kepada kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Hubungan erat antara Pulau Pinang dan Medan yang dibina menerusi jalinan Bandar Raya Berkembar telah lama menjadi asas kukuh kepada kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Berpandukan semangat persahabatan ini, penyertaan Pulau Pinang di PRSU melambangkan komitmen berterusan kami untuk memperkukuh kerjasama yang saling menguntungkan antara Pulau Pinang dan Sumatera Utara,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran Pavilion Pulau Pinang di sini, Ahad lalu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; serta Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Shahril Nizam Abdul Malek.

Bertemakan ‘Discover Penang: From Penang to Indonesia, Business Beyond Borders’, Pavilion Pulau Pinang menjadi antara tarikan utama PRSU Ke-50 yang berlangsung dari 3 Julai hingga 2 Ogos 2026.
Dalam ucapannya, Choon Aik turut berkongsi pencapaian ekonomi Pulau Pinang yang terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan nilai perdagangan sebanyak RM956.37 bilion pada tahun 2025, manakala nilai eksport bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini mencecah RM349.35 bilion.
Katanya, pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab serantau dalam perdagangan, pembuatan berteknologi tinggi, inovasi serta aktiviti pelabuhan.
“Pencapaian ini membuktikan kekuatan Pulau Pinang sebagai hab perdagangan, pembuatan berteknologi tinggi, inovasi dan logistik pada peringkat serantau,” katanya lagi.
Beliau menambah, selain terus cemerlang dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang disifatkan sebagai tunjang utama ekonomi negeri.
Difahamkan, seramai 22 usahawan Pulau Pinang dipilih daripada lebih 60 permohonan untuk menyertai PRSU tahun ini dengan menampilkan pelbagai produk berkualiti seperti makanan dan minuman, produk halal, kesihatan dan kecantikan, kraftangan serta produk tempatan yang berpotensi menembusi pasaran eksport.

Jelas Choon Aik, penyertaan tersebut bukan sekadar mempromosikan produk dan perkhidmatan Pulau Pinang, malah membuka ruang kepada usahawan tempatan membina rangkaian perniagaan baharu serta memperluaskan akses ke pasaran Indonesia, khususnya Sumatera Utara.
Bersempena PRSU, Kerajaan Negeri turut menganjurkan beberapa sesi padanan perniagaan (business matching) yang melibatkan syarikat dan usahawan dari Malaysia serta Indonesia bagi meneroka peluang perdagangan dan pelaburan baharu.
“Masih terdapat potensi besar untuk memperluas kerjasama dengan Sumatera Utara, khususnya dalam industri halal, dengan Timbalan Ketua Menteri I dijadual mengadakan lawatan ke Medan pada penghujung bulan ini bagi memperkukuh hubungan dalam sektor berkenaan
“Saya yakin hubungan erat antara Pulau Pinang dan Sumatera Utara akan terus berkembang melalui kerjasama yang lebih kukuh, sekali gus membawa kemakmuran bersama kepada kedua-dua wilayah,” jelasnya.
Selain peluang perniagaan, Pavilion Pulau Pinang turut mengetengahkan kekayaan warisan negeri menerusi pameran pelbagai makanan ikonik seperti nasi kandar, pasembor, mi sotong, mi udang, mi Jawa, roti Benggali serta demonstrasi penyediaan roti canai terbang oleh Mamu Roti Canai yang menjadi tarikan pengunjung.

Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti ‘Passport to Penang‘ yang direka bagi menggalakkan mereka meneroka pavilion sambil mengenali produk, destinasi pelancongan dan warisan budaya Pulau Pinang.
Pada 26 Julai nanti, Pavilion Pulau Pinang turut menganjurkan ‘Penang Cultural Showcase’ yang menampilkan persembahan kebudayaan serta pertunjukan fesyen kebaya Peranakan bagi memperkenalkan identiti masyarakat majmuk negeri ini kepada pengunjung.
Gambar: SIEW CHIA EN