MEDAN – Pulau Pinang terus memperkukuh agenda sekuriti makanan negeri menerusi penerokaan kerjasama strategik dengan Sumatera Utara yang dilihat berpotensi menjadi hab pembekalan bahan mentah bagi menyokong industri pembuatan makanan serta mewujudkan peluang pelaburan baharu.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, kerjasama tersebut turut memanfaatkan kepakaran Pulau Pinang dalam bidang teknologi, pemprosesan makanan dan pengurusan rantaian bekalan bagi meningkatkan nilai tambah hasil pertanian serta akuakultur.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi padanan perniagaan di Grand City Hall Hotel di sini yang menghimpunkan pemain industri dari Malaysia dan Indonesia bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sektor pertanian, akuakultur, logistik serta pemprosesan makanan.
Turut hadir ialah Dr. Saw Lean Joo, Dr. Sayid Fadhil, Pengarah Urusan Iroko Pacific Sdn. Bhd., Victor Shahidi dan Pengerusi NL Group of Companies, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad.
Menurut Choon Aik, Pulau Pinang sedang meneroka peluang mendapatkan bekalan bahan mentah daripada sektor pertanian dan akuakultur di Sumatera Utara bagi memenuhi keperluan industri pembuatan makanan di negeri ini.
“Untuk menembusi pasaran antarabangsa, produk makanan perlu memenuhi piawaian pensijilan seperti Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP), Sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP), International Organization for Standardization (ISO) dan Pensijilan Halal Malaysia (SPHM).
“Pulau Pinang pastinya mempunyai kepakaran dalam aspek tersebut dan mampu membantu meningkatkan nilai produk,” katanya kepada Buletin Mutiara.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa syarikat dari Pulau Pinang tidak bercadang memperoleh tanah di Sumatera Utara, sebaliknya memberi fokus kepada pemindahan teknologi moden dan amalan pertanian terbaik melalui kerjasama dengan pengusaha tempatan.
“Pulau Pinang mempunyai kekangan dari segi keluasan tanah untuk aktiviti pertanian berskala besar, manakala Sumatera Utara dan Aceh mempunyai sumber tanah yang luas.
“Justeru, kita melihat kedua-dua wilayah ini sebagai rakan strategik, dengan Pulau Pinang menyumbang kepakaran dalam teknologi, pengurusan ladang, logistik dan pengendalian selepas tuaian sebelum hasil diproses menjadi produk makanan bernilai tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Choon Aik berkata, pengalaman Pulau Pinang dalam bidang sains, teknologi dan inovasi industri mampu dimanfaatkan bagi memodenkan keseluruhan rantaian nilai sektor pertanian, bermula daripada penanaman, pengangkutan, pemprosesan, pembungkusan sehingga pemasaran.
Beliau turut menegaskan bahawa sekuriti makanan perlu terus diperkasakan memandangkan Malaysia masih bergantung kepada bekalan import bagi memenuhi sebahagian besar keperluan makanan negara.
“Pandemik COVID-19 mengajar kita bahawa sekuriti makanan tidak boleh dipandang ringan kerana ketika ini kira-kira 70 peratus bekalan makanan negara masih diimport.
“Oleh itu, kita perlu mempelbagaikan sumber bekalan dan memperkukuh rantaian bekalan agar lebih berdaya tahan.
“Justeru, kerjasama ini mampu menjamin bekalan bahan mentah yang lebih stabil di samping meningkatkan nilai tambah melalui industri pembuatan makanan,” katanya.
Mengulas mengenai langkah seterusnya, Choon Aik berkata beliau akan mengadakan sesi libat urus bersama pakar pertanian dan bakal pelabur sebaik kembali ke Pulau Pinang bagi meneroka peluang dalam teknologi pertanian serta model pertanian kontrak.
Pada masa sama, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Penang Port Sdn. Bhd. bagi meneliti kaedah terbaik memudah cara pengimportan bahan mentah pertanian dari Sumatera Utara.
“Kita juga perlu memperkukuh ekosistem logistik memandangkan Penang Port telah menjadi pemangkin kepada perkembangan industri elektrik dan elektrobik (E&E) Pulau Pinang dan kini kita mahu meneroka potensinya dalam menyokong rantaian bekalan sektor agromakanan.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh sekuriti makanan jangka panjang Pulau Pinang, malah membuka peluang ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua wilayah,” katanya.
Sesi padanan perniagaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan Sumatera Utara, sekali gus merintis kerjasama lebih erat dalam sektor pertanian mampan, pengeluaran makanan dan perdagangan serantau.
Gambar: SIEW CHIA EN