GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri disaran merangka satu pelan induk yang lengkap dan komprehensif bagi memperkukuh industri kitar semula sisa hijau serta sisa elektronik (e-waste) berteknologi tinggi di Pulau Pinang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah itu penting bagi memastikan negeri ini tidak ketinggalan dalam merebut peluang ekonomi baharu berasaskan konsep ‘waste to wealth’ dan ‘waste to resource’.
Menurutnya, pelan tersebut juga perlu mendapat sokongan kepimpinan tertinggi negeri termasuk Ketua Menteri serta Yang Dipertua Negeri bagi menarik perhatian pelabur global ke Pulau Pinang.
“Kita mahu industri kitar semula ini diperkasakan dengan pelan yang benar-benar lengkap dan komprehensif supaya dapat menarik pelaburan luar negara, khususnya yang berasaskan teknologi tinggi.
“Ini merupakan sumber kekayaan baharu yang wajar diberi perhatian serius dan diambil kira oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya ketika sesi membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri TYT Tun Ramli Ngah Talib di Dewan Undangan Negeri di sini pada 12 Mei 2026.
Beliau berkata, antara potensi besar yang boleh diteroka adalah pembangunan teknologi Waste-to-Energy (WTE) atau penjanaan tenaga daripada sisa buangan.
Namun jelasnya, projek sedemikian hanya berdaya maju sekiranya jumlah sisa yang dijana mencukupi.
“Ada banyak negeri yang cuba melaksanakan WTE, tetapi ada juga yang tidak berjaya kerana jumlah sisa dijana kurang daripada 2,000 tan sehari, sekali gus menyebabkan projek itu tidak ‘viable’ atau berdaya maju,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan potensi industri e-waste dalam memproses logam bernilai tinggi seperti nikel, litium dan kobalt yang kini menjadi komoditi penting dalam ekonomi global.
Tambahnya lagi, Pulau Pinang mempunyai kelebihan kerana ekosistem industri berkaitan sudah sedia wujud di negeri ini.
“Produk-produk yang melibatkan pengekstrakan logam seperti nikel, litium dan kobalt ini boleh menjadi satu komuniti harga baharu dan industrinya sudah ada di sini.
“Sebab itu saya fikir perlu ada satu pelan induk khas sebelum kita terlambat, selain meneliti tawaran kepada pelabur yang mahu datang melabur dalam sektor ini,” jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Beliau turut memaklumkan bahawa daripada 17 syarikat yang mempunyai keupayaan dan lesen berkaitan, tujuh daripadanya beroperasi di Pulau Pinang.
Justeru katanya, keadaan itu membuktikan negeri ini berpotensi menjadi hab utama industri kitar semula dan pemulihan sumber berteknologi tinggi di negara ini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN