Pulau Pinang perlukan pelan pembangunan ekonomi jangka panjang

PULAU PINANG memerlukan satu ‘blueprint’ baharu untuk merangka tindakan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri bagi jangka masa 30 tahun akan datang iaitu dari tahun 2030 hingga 2050.

Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata bahawa adalah penting untuk Pulau Pinang meneliti kembali kekuatan ekonomi selepas beralih kepada negeri perindustrian sejak 50 tahun lalu (1970-an).

“Sebelum ini, Pulau Pinang memfokuskan industri elektrik dan elektronik (E&E). Tetapi sekarang, kita juga memberikan tumpuan kepada pengeluaran peralatan perubatan, aeroangkasa, pertahanan, kereta api (pengangkutan rel) dan Internet of Things (IoT).

“Jadi, untuk masa akan datang kita tidak boleh hanya bergantung kepada industri semikonduktur semata-mata tetapi perlu beralih kepada automasi,” kata Abdul Halim kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di pejabatnya dekat Komtar baru-baru ini.

Pusat R&D

Abdul Halim berkata, Pulau Pinang berhasrat untuk menubuhkan pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D).

Bagaimanapun katanya, ia memerlukan kos yang tinggi dengan anggaran permulaan RM 50 juta dan berharap ada kerjasama agensi dan bantuan kerajaan pusat.

Beliau juga difahamkan di dalam Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2021 – 2025, negeri Pulau Pinang akan memainkan peranan penting sebagai pusat R&D dan teknologi tinggi di dalam bidang E&E, M&E, Aeroangkasa, Peranti Perubatan dan Pertanian Pintar yang akan merancakkan pembangunan industri dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Justeru, beliau berharap satu kerjasama dapat dibentuk untuk menjayakan inisiatif ini.

Abdul Halim Hussain.

“Pulau Pinang telah melahirkan banyak bakat, jadi sudah tiba masanya kita mendirikan pusat R&D untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi bagi mengekalkan bakat-bakat yang ada.

“Pusat R&D ini akan memberi inspirasi kepada bakat-bakat tempatan untuk menghasilkan reka bentuk yang memberi manfaat kepada negara melalui penawaran tenaga kerja lebih murah bagi mengeluarkan pelbagai jenis produk,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa Malaysia berdepan persaingan sengit kerana kebanyakan syarikat gergasi seperti Tesla, Hyundai, Toyota dan Amazon kini memilih untuk melabur di Indonesia, sementara Vietnam dan Thailand pula menjadi pilihan bagi syarikat E&E.

FDI masih pada tahap baik

Walau bagaimanapun katanya, Pulau Pinang bernasib baik kerana berjaya mencatatkan pelaburan berjumlah RM16.9 bilion dalam sektor pembuatan yang diluluskan pada tahun 2019, yang mana sebanyak RM15 bilion telah disumbangkan oleh pelaburan langsung asing (FDI).

“Pulau Pinang telah mencapai RM10.6 bilion jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan untuk sembilan bulan pertama tahun lepas (Januari hingga September 2020), dengan 83 peratus adalah daripada FDI.

“Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri sudah cukup gembira sekiranya kita mampu mencatatkan jumlah FDI sektor pembuatan separuh daripada tahun lepas, mungkin RM5 bilion atau RM6 bilion kerana kita berdepan dengan keadaan yang amat mencabar.

“Kita akui bahawa FDI amat penting tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu membina kekuatan sendiri untuk syarikat-syarikat besar tempatan.

“Kita mempunyai beberapa syarikat multinasional yang dikendalikan 100 peratus oleh rakyat tempatan. Ini membuktikan bahawa kita mempunyai bakat dan kita harus berusaha untuk meningkatkannya,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Abdul menyatakan bahawa syarikat berasaskan teknologi pada umumnya tidak terlalu terkesan berbanding sektor pembuatan, perhotelan dan perkhidmatan (borong dan runcit) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuatkuasa kini.

Beliau berkata, empat buah kilang di Pulau Pinang yang telah ditutup pada tahun lalu bukan disebabkan pandemik COVID-19 sebaliknya berpunca daripada perubahan strategi perniagaan.

“Pandemik COVID-19 telah mengajar kita untuk mengurangkan kebergatungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah kerana ia telah menafikan peluang pekerjaan bagi warga tempatan.

“Justeru, kita perlu melatih rakyat tempatan untuk meningkatkan kemampuan serta kemahiran bagi membolehkan mereka menjana pendapatan yang lebih tinggi.

“Selain itu, pengilang-pengilang juga disarankan supaya menyesuaikan diri dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dengan beralih kepada automasi dan robotik,” ujarnya lagi.

Insiatif Kerajaan Negeri

Dalam pada itu, Abdul Halim turut menyeru peniaga-peniaga tempatan supaya memanfaatkan geran dan pinjaman yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan.

Sebagai contoh, katanya di bawah Skim Pinjaman Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang atau Skim Peka PKS, Kerajaan Negeri menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 kepada industri kecil dan sederhana (IKS) dan pinjaman hingga RM20,000 kepada perniagaan mikro atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Setakat ini katanya, seramai 1,651 usahawan telah menerima manfaat daripada skim tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM28.74 juta.

Selain itu, Abdul Halim menjelaskan bahawa pada tahun 2019 seramai 1,060 usahawan telah dilatih di bawah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu mereka menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan Shopee melalui suntikan dana sebanyak RM500,000 selama enam bulan mulai Jun hingga Disember 2020 untuk membantu peniaga mikro memasarkan produk mereka di platform e-dagang.

Abdul Halim berkata bahawa usahasama yang dinamakan sebagai Penang E-Mall itu terbukti berjaya kerana telah menghasilkan nilai jualan berjumlah RM6 juta.

“Jumlah usahawan (peniaga) yang menggunakan platform ini meningkat daripada 5,051 orang pada bulan Jun kepada 15,111 pada Disember 2020 iaitu peningkatan sebanyak 10,000 atau 300 peratus.

“Bagi sektor halal pula, jumlah peniaga meningkat daripada 36 orang pada bulan Jun kepada 717 pada bulan Disember 2020.

“Ini perkembangan yang sangat baik. Oleh itu, untuk tahun ini kita akan bekerjasama bukan sahaja dengan Shopee tetapi juga dengan platform lain seperti Lazada.

“Kita juga akan bekerjasama dengan semua penyedia perkhidmatan penghantaran seperti DeliveryEat, Foodpanda dan GrabFood untuk merangsang lagi ekonomi penduduk tempatan,” katanya.

Jelas Abdul Halim, bagi mendorong peniaga mikro terlibat dalam e-dagang, Kerajaan Negeri membekalkan 350 unit komputer riba kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dengan kos keseluruhan berjumlah RM320,950.

“Ini selaras dengan visi Penang2030 iaitu untuk meningkatkan pendapatan kumpulan B40 supaya mereka tidak ketinggalan dalam era digital dan bagi tujuan ini, mereka memerlukan komputer.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga memberi perhatian terhadap peniaga pasar malam, pasar tani dan penjaja berlesen dengan mengedarkan 1,000 khemah sejak 2019,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN