Pulau Pinang salur RM3.6 juta demi memartabat SAR, huffaz

Admin
075a72ef 8c56 4970 8e11 99a9454383b2 MOHAMAD Abdul Hamid (tiga dari kiri) dengan diiringi barisan pemimpin negeri lain menyampaikan cek cura bernilai RM177,000 Bantuan Sekolah Agama Rakyat (BSAR) Tahun 2026 di sini pada pegang tadi.

SEBERANG JAYA — Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.6 juta bagi memperkasakan 342 Sekolah Agama Rakyat (SAR) berdaftar di seluruh negeri tahun ini, di samping meneruskan sumbangan penghargaan kepada golongan penghafal al-Quran (Huffaz).

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, inisiatif tersebut merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri sejajar dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030) demi memastikan kelancaran operasi institusi pendidikan agama serta memperkukuh modal insan berteraskan ilmu dan akhlak.

Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP menjelaskan bahawa perincian peruntukan RM3.6 juta berkenaan merangkumi RM2.77 juta untuk bantuan guru dan sekolah; Kegiatan Kokurikulum (RM472,300); dan RM350,000 sumbangan Huffaz atau agihan RM500 seorang kepada 700 penghafaz 30 juzuk al-Quran yang telah dilaksanakan secara one-off sejak 2008.

Di samping itu, beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM237,000 sebagai bantuan one-off sebanyak RM1,000 seorang kepada 237 jemaah haji B40 yang selesai menunaikan ibadah haji tahun ini.

“Kerajaan Negeri sentiasa menghargai peranan sekolah agama rakyat dalam membina sahsiah diri, akidah dan keperibadian generasi muda.

“Bantuan ini diteruskan bagi memastikan SAR berdaftar dapat beroperasi dengan lancar,” katanya selepas merasmikan Majlis Sumbangan Al-Huffaz, SAR dan Bantuan Jemaah Haji B40 di Dewan Al Ansar, Masjid Al Muhajirin hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 342 sekolah Islam di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang menerima manfaat sumbangan itu merangkumi 12 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK); 17 Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR); 220 Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); 14 Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR); 44 Maahad Tahfiz; 14 Institusi Pondok dan 21 Tadika Islam Mutiara Madani.

Buletin Mutiara diberitahu bahawa kesemua institusi berkenaan telah melimpahkan manfaat kepada hampir 60,000 murid serta menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 3,500 guru di Pulau Pinang.

Mengulas mengenai perancangan perundangan, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang memperhalusi Enakmen Wakaf Pulau Pinang sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pindaan ini merangkumi aspek pendaftaran, pembangunan dan penguatkuasaan tanah wakaf (yang mana) JHEAIPP juga ditugaskan mengenal pasti madrasah yang belum mendaftarkan tanah wakaf supaya pengurusan aset lebih tersusun.

“Langkah pemantapan undang-undang pentadbiran agama ini menyokong lima teras utama Agenda Pembangunan Agama Islam tahun 2030 (APAI2030) iaitu pembangunan sosioekonomi, pendidikan, keluarga, anak muda, serta dakwah dan tarbiah, yang digerakkan menerusi 14 strategi dan 70 pelan tindakan syarie.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD IQBAL HAMDAN