Pulau Pinang sambut baik pertambahan pemilih ‘Undi 18’

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedaya upaya memberi kerjasama bagi memastikan demokrasi di negara ini terus disuburkan dengan penglibatan semua pihak.

ANTARA barisan kepimpinan negeri yang hadir pada sesi libat urus berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan Umur Kelayakan Pengundi 18 Tahun Dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik dekat Dewan Sri Pinang di sini pada 12 Februari 2022.

 

 

Menurut beliau, selain memastikan amalan demokrasi tetap subur, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan memastikan kestabilan serta kemakmuran di negeri ini terus terpelihara sepanjang masa.

“Sepertimana yang semua sedia maklum, dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri yang Ke-14 pada 1 September 2021 lalu telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan 2021) bagi menurunkan had umur warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

SESI libat urus ini melibatkan semua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang.

“(Dan) dengan undian sebulat suara, maka pindaan tersebut telah dikuatkuasakan pada 9 Disember 2021 (di Pulau Pinang),” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kerana mengadakan sesi libat urus memberi penjelasan berkaitan pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang telah mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2021.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong memaklumkan bahawa dengan pelaksanaan inisiatif baharu tersebut, jumlah pemilih berdaftar turut meningkat.

 

 

Di Pulau Pinang, jumlah pemilih berdaftar meningkat daripada 966,878 orang sebelum ini kepada 1.22 juta orang iaitu pertambahan 256,734 orang, dan jumlah pemilih berdaftar ini dijangka akan meningkat setiap bulan.

 

 

“Pertambahan jumlah pemilih ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada pertambahan jumlah pemilih di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).

 

 

“Saya percaya semua wakil rakyat berasa amat berbesar hati menerima pertambahan jumlah pemilih kerana ia telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 16 dan 25 Julai 2019 yang lalu,” jelas ADUN Padang Kota itu.

 

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR Malaysia, Dr. Azmi Sharom memberitahu bahawa pertambahan pemilih berdaftar seluruh negara meningkat daripada 15.3 juta pemilih sebelum ini kepada 21.0 juta orang pada 31 Disember 2021.

 

“Daftar Pemilih Tambahan (DPT) pertama  merangkumi mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.7 juta orang dan telahpun diwartakan pada 14 Januari 2022.

DR. Azmi Shahrom (depan, kanan) menyerahkan cenderamata kepada Ketua Menteri sejurus tamat sesi berkaitan di sini.

 

“(Dan) daripada jumlah tersebut (5.7 juta pemilih) jumlah pemilih baharu yang telah didaftarkan di Pulau Pinang adalah seramai 256,734 orang,” katanya ketika menyampaikan taklimat berkaitan mekanisme dan perbezaan antara pendaftaran sebelum ini dengan pendaftaran baharu secara automatik.

 

 

 

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; barisan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; Timbalan Setiausaha (Strategik) Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Norzawatil Amali Alias dan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang, Dr. Siti Nazariah Abdul Zalim antara yang turut sama menyertai sesi libat urus berkaitan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN