Lima lagi PPV PICKids dibuka bagi percepat pemberian vaksin kanak-kanak

Admin

BATU UBAN – Program Imunisasi COVID-19 Untuk Kanak-kanak (PIProgram Imunisasi COVID-19 Untuk Kanak-kanak (PICKids) peringkat negeri Pulau Pinang bermula secara rasmi hari ini selepas pelaksanaan pertama membabitkan kanak-kanak komorbiditi pada 7 Februari lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, bagi meningkatkan pemberian vaksin kepada kanak-kanak di negeri ini, sebanyak lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka termasuk di Tapak Pesta Sungai Nibong yang mula beroperasi hari ini.

Beliau berkata, empat lagi PPV adalah di Dewan Sunshine Bayan Baru bagi Daerah Barat Daya, Sunshine Bertam (Daerah Seberang Perai Utara), Tapak Ekspo Seberang Jaya (Daerah Seberang Perai Tengah) dan Dewan MPKK Bandar Cassia (Daerah Seberang Perai Selatan) yang masing-masing beroperasi mulai 14 Februari ini.

Ketua Menteri beramah-mesra dengan salah seorang kanak-kanak yang hadir ke PPV Tapak Pesta Sungai Nibong di sini untuk mendapatkan suntikan imunisasi.

“Bagi kawasan-kawasan yang agak jauh dari PPV, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Pendidikan Daerah untuk melaksanakan pemberian vaksin di sekolah-sekolah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program PICKids peringkat negeri dekat Tapak Pesta Sungai Nibong dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jailani Muhamed Yunus; Pengarah JKNPP, Dr. Ma’arof Sudin serta Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Said Ibrahim.

Kon Yeow berkata, terdapat 155,800 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun disasarkan menerima vaksin di bawah program PICKids di negeri ini berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Walaupun pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak adalah secara sukarela dengan kebenaran penjaga, namun saya menyarankan agar ibu bapa segera mendaftarkan anak masing-masing untuk menerima imunisasi mereka,” serunya.

Kanak-kanak sedang menerima suntikan vaksin.

Dalam pada itu, Kon Yeow menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mendakwa terdapat masalah kekurangan bekalan vaksin di negeri Pulau Pinang.

“Berdasarkan maklumat daripada JKNPP, tidak ada masalah bekalan vaksin di negeri Pulau Pinang.

“Mungkin apa yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan hanya berdasarkan andaian sendiri tanpa mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah,” tegasnya.

Kehadiran beberapa ‘adiwira’ menceriakan lagi suasana di PPV PICKids dekat Tapak Pesta pada hari pertama beroperasi.

Mengulas mengenai peningkatan kes jangkitan COVID-19 sejak beberapa hari lalu, beliau menyatakan bahawa sistem kesihatan di negeri ini masih terkawal kerana kebanyakan kes yang dicatatkan adalah dalam kategori 1 dan 2A.

Walau bagaimanapun Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri kini sedang bersiap siaga untuk menambah baik kemudahan sedia ada sekiranya jumlah kemasukan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) meningkat.

“Bilangan kes bagi kategori 3,4 dan 5 pula adalah dalam jumlah yang amat kecil.

“Namun begitu, beberapa prosedur operasi standard (SOP) baru akan dilaksanakan bagi menangani kes-kes dalam kategori 1 dan 2 atau kontak rapat.

“Ini bermakna kemudahan awam masih mampu menangani peningkatan kes dan tidak akan melumpuhkan sistem kesihatan awam kita,” jelasnya.

Kanak-kanak yang hadir ke mendapatkan suntika vaksin perlu ditemank ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ma’arof memberitahu bahawa setakat ini terdapat lebih 600 katil disediakan bagi tujuan rawatan pesakit COVID-19 di seluruh negeri.

“Di PKRC Jawi, kita ada dalam lebih kurang 400 katil dan lebih 200 katil di Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan kapasiti penggunaan adalah melebihi 60 peratus sehingga semalam.

“Sekiranya ada keperluan, kita juga akan membuka semula PKRC di Kompleks Masyarakat Penyayang sebagai langkah kontigensi,” ulasnya.

Senarai PPV PICKids di seluruh negeri

Menjawab soalan pemberita mengenai masalah kekurangan alat ujian kendiri COVID-19 (test kit) yang tersedia di pasaran, Ma’arof berkata bahawa perkara itu bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang malah di seluruh negara.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) sedang menangani perkara ini,” ulasnya.

Sementara itu, pemerhatian dilakukan Buletin Mutiara mendapati proses pemberian vaksin kepada kanak-kanak di PPV Tapak Pesta Sungai Nibong berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Kehadiran beberapa ‘adiwira’ dilihat telah menceriakan kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa masing-masing untuk mendapatkan imunisasi.

Difahamkan, setakat ini pemberian vaksin kepada kanak-kanak hanya melalui janji temu menerusi aplikasi MySejahtera atau pihak sekolah dan masih tidak ada kemudahan “walk in’ disediakan di semua PPV.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS