GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyasarkan penyertaan lebih 270,000 orang sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Pulau Pinang yang akan berlangsung pada 10 Oktober ini.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, sambutan tersebut akan dilaksanakan di seluruh negeri menerusi penglibatan pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pendidikan, pertubuhan sukan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
“Kerajaan Negeri ingin memastikan sukan dapat menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan, membina komuniti yang lebih aktif serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kita mahu sukan menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Pulau Pinang, bukan sahaja dalam kalangan atlet atau mereka yang aktif bersukan, tetapi melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pengumuman Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di sini semalam.
Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Muhamad Hafizi Ahmad Zaini, Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar serta wakil penaja HSN Pulau Pinang 2026.
Mengulas lanjut, Zi Sen berkata, sambutan peringkat negeri akan berlangsung di Kompleks Sukan dan Rekreasi Jalan Betek, Bukit Mertajam, bermula jam 6 pagi hingga 4 petang.
“Pelbagai aktiviti disusun untuk disertai keluarga, belia, kanak-kanak dan komuniti setempat termasuk ‘fun walk’ sejauh tiga kilometer (km), ‘fun run’ 5km, senamrobik, pound fitness, klinik bola sepak, cabaran sepakan penalti, pickleball dan sukaneka kanak-kanak serta pameran dan jualan komuniti.
“HSN bukan sekadar acara sukan tahunan, sebaliknya merupakan usaha untuk membudayakan aktiviti fizikal dan gaya hidup aktif dalam kehidupan seharian masyarakat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa aspek pengurusan lalu lintas turut diberi perhatian bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar, khususnya antara jam 7 hingga 9 pagi.
Katanya, laluan yang terlibat adalah Jalan Song Ban Kheng, Jalan Betek, Jalan Sungai Rambai dan Jalan Tembikai, namun tidak melibatkan penutupan jalan sepenuhnya.
“Sebaliknya, hanya sebahagian laluan akan digunakan bagi memastikan aktiviti dapat berjalan lancar dan pada masa sama mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
“Orang awam yang mempunyai urusan pada waktu tersebut boleh menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Permatang Rawa, Jalan Kota Permai atau Jalan Maju bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” jelasnya.
Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: LAW SUUN TING