Pulau Pinang sasar lebih banyak syarikat teraju wanita tembusi pasaran global

Admin
a7e84190 dbcc 4f47 b5b6 40d85102d3c5 KETUA Menteri bersama-sama sekalian pemegang taruh dalam Dewan Perniagaan Wanita Pulau Pinang (PWCC) merakamkan gambar kenang-kenangan seusai acara perasmian pembukaan PWCC Business Scaling & Expansion Summit 2026 di sini pada 28 Ogos 2026.

GEORGE TOWN — Kerajaan Negeri hari ini meletakkan sasaran untuk melihat lebih banyak syarikat tempatan yang diterajui dan diasaskan golongan wanita bertapak dalam sektor berimpak tinggi serta menembusi pasaran antarabangsa.

f4d4a6cf 4662 456e 9b73 bf2d0c2144ca
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sokongan terhadap usahawan wanita tidak lagi berfokus kepada fasa permulaan semata-mata, sebaliknya kini memberi tumpuan khusus kepada usaha memperbesar skala perniagaan (scaling up) agar mampu bersaing di peringkat serantau dan global.

“Kejayaan ekonomi Pulau Pinang yang mencatatkan pertumbuhan 7.3 peratus pada tahun 2025 dengan nilai RM130.3 bilion hanya bermakna jika perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan turut berkembang bersama.

“Rantaian bekalan sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) negeri yang merangkumi kira-kira 6,500 pembekal tempatan perlu menjadi lebih inklusif dengan penyertaan aktif perniagaan milik wanita,” katanya ketika merasmikan PWCC Business Scaling & Expansion Summit 2026 di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Pengasas Dewan Perniagaan Wanita Pulau Pinang (PWCC), Dato’ Seri Chong Eng serta Presiden PWCC, Koh Shu Juan.

Mengulas pencapaian dasar Visi Penang2030 yang mensasarkan 40 peratus penyertaan wanita dalam keusahawanan menjelang 2030, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa bilangan usahawan wanita telah meningkat daripada 2,450 orang pada tahun 2023 kepada 4,052 orang tahun ini.

Jumlah itu, menurut beliau, menandakan 81 peratus daripada sasaran keseluruhan telah berjaya dicapai.

Menyentuh perbincangan berhubung cadangan sistem percukaian gabungan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menggesa agar kajian mendalam serta sesi konsultasi bersama penggiat industri dijalankan terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

“Perniagaan memerlukan kepastian, kejelasan dan masa yang mencukupi untuk membuat persediaan. Sebarang perubahan dasar percukaian yang terburu-buru dikhuatiri menjejaskan aliran tunai serta perancangan kos PKS,” tambahnya.

Mengakhiri ucapan, beliau turut menyeru PWCC agar terus bertindak sebagai pemangkin strategik bagi usahawan wanita mendapatkan modal, rakan kongsi, dan akses pasaran baharu, sekali gus melahirkan lebih banyak syarikat teraju wanita bertaraf antarabangsa dari Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN