GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyeru lebih ramai sukarelawan dan anggota masyarakat untuk bersama-sama menjayakan Hari Cuci Malaysia 2026 yang akan berlangsung pada 26 September depan.
Ahli Majlis MBPP, Rohaizat Hamid berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan lebih 1,000 sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi menjayakan program yang akan diadakan di seluruh kawasan pentadbiran MBPP itu.
“Setakat ini, sambutan agak memberangsangkan apabila kita sudah menerima sekitar 600 hingga 800 sukarelawan untuk menyertai program ini dan tidak mustahil, kita menjangkakan penyertaan ini akan bertambah lebih 1,000 orang.
“Sempena Hari Cuci Malaysia 2026 ini, kita (MBPP) menyeru semua pihak agar menjadikan semangat gotong-royong dan kecintaan terhadap kebersihan sebagai satu budaya yang dapat diteruskan setiap masa, tidak hanya pada September hadapan sahaja.
“Oleh itu, kita berharap kepada mereka yang ingin menyertai Hari Cuci Malaysia 2026 ini boleh mengimbas kod QR yang tersedia pada poster hebahan dan boleh bersama-sama menyertai aktiviti pembersihan mega di kawasan sekitar masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena pelancaran poster Hari Cuci Malaysia, Penang World Clean Up Day 2026 di Komtar hari ini.
Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Rashidah Jalaludin.
Rohaizat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Perkhidmatan Perbandaran MBPP berkata, penganjuran Hari Cuci Malaysia bukan sekadar aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan pada hari tertentu.

“Sebaliknya ini adalah platform untuk meningkatkan kesedaran dan membentuk perubahan sikap masyarakat agar kebersihan menjadi budaya dan amalan dalam kehidupan seharian.
“Dalam masa yang sama juga, kita akan terus memperkukuhkan komitmen dalam memastikan kebersihan, keindahan dan kelestarian persekitaran di kawasan pulau ini terus terjaga sebaik mungkin.
“Ini adalah tahun kedua dan pada tahun lalu, kita telah menganjurkan World Clean Up Day-Penang Edition 2025 yang berlangsung di Padang Kota Lama yang mana kita menyaksikan penyertaan seramai 1,928 orang dan 400 daripadanya ialah sukarelawan yang menyertai program ini di 27 lokasi yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Rohaizat memberitahu bahawa penganjuran pada tahun lalu turut mencatatkan kutipan sebanyak 1.63 tan sisa sampah oleh para sukarelawan, manakala jumlah keseluruhan sisa yang dikutip termasuk yang dikendalikan oleh kontraktor MBPP mencecah 94.35 tan.
Menyentuh mengenai kelainan pada penganjuran kali ini, Rohaizat berkata, pihaknya tidak lagi menumpukan lokasi tumpuan sahaja sebaliknya penglibatan komuniti setempat sangat diharapkan melalui aktiviti gotong royong di kawasan perumahan, taman awam, kawasan rekreasi, pantai, kawasan lapang, institusi pendidikan, kawasan perkilangan serta lokasi tumpuan awam lain.
“Usaha ini meliputi amalan mengurangkan penghasilan sisa, mengasingkan sisa di punca, mengitar semula, tidak membuang sampah merata-rata serta menjaga kebersihan kawasan awam secara berterusan,” ujarnya.
Terdahulu, Rohaizat dan Rashidah melancarkan poster Hari Cuci Malaysia bersempena Penang World Clean Up Day 2026 yang membawa tema ‘Bersih Hari Ini, Lestari Selamanya’.
Program Hari Cuci Malaysia merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional yang digerakkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersempena World Clean Up Day, dengan pembabitan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan, komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, institusi pendidikan serta masyarakat setempat.
Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT