Pulau Pinang sasarkan peningkatan nilai pelaburan 2012

Admin

GEORGE TOWN – Nilai pelaburan yang telah ditetapkan pada Mei tahun lalu berjumlah RM6.1 bilion ternyata berjaya dipintas dengan nilai pelaburan sehingga akhir Disember 2011 berjumlah RM10.0 bilion.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya menyatakan bahawa, nilai pelaburan Pulau Pinang telah melepasi sasaran asal iaitu RM6.1 bilion. Malah, pada tahun 2010, Pulau Pinang telah mencatat nilai pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu RM12.2 bilion.

Bagaimanapun, beliau berkata, nilai pelaburan tersebut perlu merangkumi nilai pelaburan dalam dua sektor terkini di Pulau Pinang iaitu sektor berteknologi tinggi (high technology) dan sektor solar yang diterajui oleh Ibiden Electronics Malaysia Sdn. Bhd. dan Robert Bosch Solar yang berjumlah RM4.0 bilion.

Beliau juga berkata bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Ministry of International Trade and Industry – MITI) berkaitan kejatuhan nilai pelaburan negeri berbanding tahun lalu adalah tepat. Walau bagaimanapun, analisis terakhir nilai pelaburan perlu merangkumi nilai pelaburan sehingga 31 Disember 2011.

“MITI perlu memasukkan nilai pelaburan berjumlah RM4.0 bilion dalam nilai pelaburan berjadual kerana nilai pelaburan terakhir yang dicatatkan adalah RM10.0 bilion menerusi dua sektor baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menyatakan bahawa walaupun Pulau Pinang pernah mencatatkan angka tertinggi dalam pelaburan pada tahun 2010, Kerajaan Negeri telah menurunkan sasaran bagi tahun 2011 untuk menarik lebih banyak nilai tambah dalam industri berteknologi tinggi serta syarikat-syarikat yang berasaskan inovasi dan berdaya saing.

Dalam pada itu, beliau juga memetik satu laporan yang dikeluarkan oleh sebuah firma penyelidikan, Tholons mengenai “Top 100 Outsourcing Destinations in the World” baru-baru ini yang menyatakan bahawa Pulau Pinang telah mencatat pemeringkatan dari tangga ke-79 ke tangga ke-77 dunia.

“Kami (Kerajaan Negeri) berharap untuk menarik lebih ramai BPO (Business Process Outsourcing) dan industri lain seperti perubatan, aeroangkasa, fotovoltik dan industri LED (Light-emitting Diode) ke Pulau Pinang tahun ini,” tambahnya.