Air Products suntik RM600 juta pelaburan negeri

Admin

Oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

KETUA Menteri sambil ditemani Douglas Hayes (tiga dari kanan) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian loji Air Products di Ann Joo Steel di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri sambil ditemani Douglas Hayes (tiga dari kanan) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian loji Air Products di Ann Joo Steel di sini baru-baru ini.

PERAI – Inisiatif syarikat pembekal gas bagi keperluan industri terkemuka dunia, Air Products Malaysia Sdn. Bhd. memilih Pulau Pinang sebagai tapak kedua (pertama di Shah Alam, Selangor) di Malaysia dalam memperkembangkan perniagaannya telah berjaya menyuntik RM600 juta pelaburan kepada negeri ini baru-baru ini.

Serentak itu, pelaburan tersebut turut menawarkan 640 kekosongan jawatan kepada penduduk tempatan.

Timbalan Presiden Tanan Asia Air Products, Douglas Hayes berkata, syarikatnya memilih pelaburan di Pulau Pinang ekoran kepesatan industri di negeri ini.

Baginya, Pulau Pinang ibarat pokok buluh, sebatang tumbuh, mudah untuk buluh yang lain tumbuh di sekitarnya.

“Justeru, sebagai permulaan, pelaburan bernilai RM 600 juta ini adalah lanjutan pembinaan loji Air Products Malaysia Sdn. Bhd. untuk syarikat kilang besi, Ann Joo Steel di sini,” katanya pada majlis perasmian loji baru di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyentuh prestasi tahun lalu berkata, Pulau Pinang telah mencapai pelaburan sebanyak RM12.24 bilion dan mensasarkan ia akan terus berkembang tahun ini (2012) dengan kemasukan Air Products.

“Dijangkakan, pembinaan aliran paip gas yang akan menghubungkan kawasan Perai dan Bukit Minyak oleh Air Products akan menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur di Pulau Pinang.

“Sejajar itu, kita (Kerajaan Negeri) akan memperkenalkan satu lagi projek taman industri di Batu Kawan dan yakin lokasi tersebut (Batu Kawan) bakal menjadi taman sains dan industri terbesar di Malaysia menjelang 2020 dengan keluasan 4,000 ekar,” jelasnya.

Gas seperti helium cecair, hidrogen, oksigen dan argon menjadi produk utama Air Products yang merupakan gas digunakan dalam industri elektronik, kitar semula, pembekuan dan penyimpanan makanan.