Pulau Pinang sentiasa bersedia mencuba sesuatu baru, PICAF 2020 letak nama negeri di peta dunia – Kon Yeow

PULAU BETONG – Festival Antarabangsa Seni Lukis Kontena Pulau Pinang (PICAF) 2020 yang berlangsung sehingga bulan Mei nanti bakal meletakkan Pulau Pinang di peta dunia sebagai hab utama kebudayaan serta kesenian.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata penganjuran festival berkenaan menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang sentiasa bersedia untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Ini adalah kali pertama festival sebegini diadakan di Asia yang mana kontena-kontena dilukis dengan mural.

“Umumnya, acara-acara seperti PICAF ini telah berjaya menyuntik nafas baru kepada bandar-bandar di negeri ini.

“Juga bakal mewujudkan budaya dan kelompok reka bentuk yang akan membangunkan bakat, produk-produk serta perkhidmatan industri kreatif tempatan yang telah menyumbang dengan signifikannya berasaskan Visi Penang2030.

“Idea-idea kreatif ini telah membuatkan semua rakyat Pulau Pinang, pelancong tempatan serta luar negara teruja melihat bandar-bandar warisan lama bertukar menjadi sebuah lokasi menarik dengan idea-idea kreatif, baru dan segar,” ujarnya pada Majlis Pelancaran PICAF 2020 yang berlangsung dekat Kampung Terang, Balik Pulau di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia); Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Festival tersebut adalah wadah lima buah kontena yang dihiasi mural hasil tangan 12 pelukis tempatan dan antarabangsa yang ditempatkan di lima lokasi sekitar Pulau Pinang iaitu Kampung Terang, Prangin Mall, Karpal Singh Drive, Aspen Vision City dan Dataran Pemuda Merdeka.

Setiap kontena menggambarkan identiti dan ciri-ciri gambaran kehidupan santai di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Soon Hin memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi penganjuran PICAF 2020 yang berlangsung sehingga Mei 2020.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pelukis-pelukis yang telah mengambil bahagian dalam mentransformasikan bandar-bandar di Pulau Pinang dengan hasil seni yang kreatif.

“Bagi para pengunjung festival, saya berharap kepelbagaian dan latar seni kreatif Pulau Pinang akan terus memberikan inspirasi melalui setiap kontena yang dipamerkan,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI