Pulau Pinang tekad bina ‘benteng sosial’ tangani buli dalam kalangan pelajar – Ketua Menteri

Admin
3db0c649 33dc 4289 abac 9c673c2a930b KETUA Menteri (dua dari kiri) dengan diiringi Zairil Khir Johari (kiri sekali) dan Ong Soo Yong (kanan sekali) menyaksikan Ooi Seok Eng (dua dari kanan) menyampaikan cek cura sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) OHM Group bernilai RM8,000 sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kepada Pengetua Madrasah Tahfiz Darul Ukasha, Ustaz Mohamad Salim Sauroo Mydin (tengah) di sini sebentar tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini komited menyokong apa jua bentuk program kesedaran bagi memerangi gejala buli demi memastikan semua institusi pendidikan di Pulau Pinang kekal menjadi ruang yang selamat, harmoni dan kondusif untuk para pelajar.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa isu buli pada hari ini tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar kenakalan remaja yang biasa, sebaliknya ia merupakan ancaman serius terhadap kesejahteraan mental dan emosi generasi muda.

Sambil memetik data rasmi terkini yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM), beliau mendedahkan bahawa sebanyak 2,889 kes salah laku buli telah direkodkan di seluruh negara, dengan majoriti (kes) melibatkan pelajar sekolah menengah.

“Angka ini harus menjadi peringatan keras kepada kita semua (bahawa) budaya buli sama ada secara fizikal, lisan mahupun siber, boleh meninggalkan kesan trauma yang mendalam terhadap keyakinan diri, emosi serta masa depan anak-anak kita.

“Sebab itu, undang-undang sahaja tidak mencukupi (maka,) kita memerlukan pendekatan kolaboratif di peringkat akar umbi untuk membina benteng sosial yang kukuh,” katanya ketika merasmikan Majlis Sumbangan Sempena Hari Raya Aidiladha anjuran OHM Group di sini pada 20 Mei 2026.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memuji langkah pihak penganjur dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganjurkan Sesi Kesedaran Anti Buli Dalam Kalangan Pelajar di sini.

Selain itu, beliau turut memuji OHM Group melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyampaiian sumbangan amal berjumlah RM24,000 kepada wakil Pondok Darul Ulum Al-Filfilaniah, Madrasah Tahfiz Darul Ukasha dan Mahad Tahfiz Al Ahmad Darul Quran sempena sambutan Hari Raya Korban.

“Saya berharap program CSR sempena Aidiladha ini akan terus menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak korporat untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan pendidikan di Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari yang juga ADUN Tanjung Bunga dan Pengerusi CSR OHM Group, Datin Ooi Seok Eng turut berucap pada majlis tersebut.

Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Inspektor Mohamad Azwan Mahmud Safbri turut menyampaikan ceramah ringkas mengenai padah jenayah buli di sekolah.

Turut hadir, Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Deputi Superintendan Salim Emin; Pengarah Eksekutif OHM Group, Ong Soo Yong; wakil Pondok Darul Ulum Al-Filfilaniah, Azman Ahmad Khariry; Pengetua Madrasah Tahfiz Darul Ukasha, Ustaz Mohamad Salim Sauroo Mydin dan Naib Pengerusi Mahad Tahfiz Al Ahmad Darul Quran, Ustaz Seyed Ahsan Shahul Hameed.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT