GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri komited memperkukuh peranannya sebagai pemudah cara utama dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri dengan memastikan setiap projek strategik termasuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dilaksanakan secara tersusun, di samping mengimbangi keperluan mobiliti rakyat, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia baharu, Mejar Jeneral Zamsari Abu Hasan di pejabatnya pagi ini.
Kehadiran Zamsari diiringi Pegawai Pengiring, Leftenan Kolonel Tajul Hisyam Mamat dan juruiring, Leftenan Muhammad Ilman Yusri.
Dalam pertemuan tersebut, selain menyentuh perkembangan projek LRT Laluan Mutiara, antara aspek yang turut dibangkitkan adalah mengenai langkah mitigasi yang sedang dilaksanakan bagi mengurus impak trafik di kawasan terlibat.

Menurut Kon Yeow, projek berimpak tinggi itu dilaksanakan mengikut jadual dengan perhatian diberikan terhadap pelan pengurusan trafik bagi meminimumkan gangguan kepada rakyat sepanjang tempoh pembinaan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kesiapsiagaan perlu diperkasakan dari semasa ke semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana alam khususnya banjir menerusi pendekatan kerjasama pelbagai agensi.
Sementara itu, Zamsari memaklumkan bahawa aspek keselamatan di enam negeri di bawah seliaan Divisyen Kedua ketika ini berada dalam keadaan baik dan terkawal, hasil koordinasi berterusan bersama agensi berkaitan.
Beliau turut menyentuh hubungan bilateral bersama negara jiran khususnya dalam isu kawalan sempadan yang terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan dan kestabilan serantau sentiasa terpelihara.
Selain aspek pertahanan, beliau memaklumkan bahawa aspek kebajikan warga Divisyen Kedua terus menjadi keutamaan termasuk pelaksanaan aktiviti ekonomi komuniti dalam kem seperti projek madu kelulut dan penanaman cendawan yang memberi nilai tambah kepada warga pasukan.
Tambah beliau, terdapat pelbagai ruang kerjasama yang boleh diteroka bersama Kerajaan Negeri termasuk dalam aspek pengurusan bencana, pelancongan berkaitan kawasan sempadan serta program mendekati masyarakat bagi mengukuhkan hubungan antara pasukan keselamatan dan komuniti setempat.
Di samping itu, beliau turut menyambut baik ucapan perasmian Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 8 Mei lalu, antara lain menekankan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak juga menyentuh kepentingan latihan bersama melibatkan agensi pertahanan dan keselamatan bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan serta keupayaan menghadapi pelbagai cabaran semasa.

Akhir pertemuan, Kon Yeow menerima bingkai yang menunjukkan struktur pemerintahan utama di bawah naungan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia Kem Tun Razak sebagai kenang-kenangan dan menjadi simbol penghargaan serta hubungan baik antara kedua-dua pihak.
Difahamkan, Zamsari yang sebelum ini menjawat jawatan Komandan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Putrajaya telah mengambil alih tampuk pemerintahan Divisyen Kedua pada Mac lalu.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : SIEW CHIA EN