Pulau Pinang terima Ketua Polis baharu

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Pulau Pinang baharu dilantik, Komisioner Polis Datuk Sahabudin Abd. Manan di pejabatnya sebentar tadi.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Senior Asisten Komisioner Zundin Mahmood dan Senior Asisten Komisioner Zailan Tansir (Ketua Jabatan Pengurusan IPK Pulau Pinang).

Kunjungan hormat tersebut adalah bertujuan memperkasakan lagi hubungan kerjasama di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kerajaan Negeri terutamanya membabitkan isu-isu keselamatan.

Dalam pertemuan hampir 30 minit tersebut, Kon Yeow turut berkongsi beberapa isu semasa serta inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan sebelum ini di peringkat negeri bagi mempertingkatkan lagi keselamatan dan lalu lintas semasa.

Menurut Kon Yeow, meskipun Pulau Pinang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) terkini yang menggunakan sistem pengecaman wajah, namun dalam usaha memerangi jenayah di negeri ini, Kerajaan Negeri kini turut memfokuskan pendekatan menambah baik fungsi CCTV sedia ada.

“Rancangan kita (Kerajaan Negeri) untuk tahun ini dan dua tahun seterusnya adalah bukan menambah CCTV baru, sebaliknya ‘tambah baik’ fungsi CCTV sedia ada dengan menggunakan ciri-ciri terbaru.

“Malah, di peringkat pihak berkuasa tenpatan (PBT) juga, Pulau Pinang kini mempunyai seramai 70 Warden Trafik bagi membantu kelancaran lalu lintas di bahagian pulau Negeri,” ujarnya sambil melahirkan harapan agar PDRM akan terus menjadi pemegang taruh penting dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

Hadir sama, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini.

Sahabudin merupakan Timbalan Pengarah 1 Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang berkuat kuasa 4 Mac lalu bagi menggantikan Komisioner Polis Datuk T. Narenasagaran yang bersara wajib baru-baru ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI