Pulau Pinang terima RM75.35 juta peruntukan MARRIS untuk baiki jalan sehingga 30 April

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperoleh sejumlah RM75,353,610 daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) bagi tujuan penyelenggaraan jalan sehingga 30 April tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini sebentar tadi.

“Kerajaan Negeri menerima peruntukan MARRIS daripada Kerajaan Persekutuan setiap tahun yang mana peruntukan ini disalurkan secara bulanan kepada Kerajaan Negeri.

“Peruntukan MARRIS yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2021 adalah berjumlah RM208,768,683 manakala bagi tahun 2022 pula berjumlah RM75,353,610 setakat 30 April lalu,” katanya.

Tambah ADUN Tanjong Bunga itu lagi, mekanisme pengagihan peruntukan MARRIS pula adalah mengikut Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri.

“Semua jabatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengemukakan senarai projek penyenggaraan jalan negeri yang hendak dilaksanakan kepada Jabatan Kewangan Negeri (JKN) bagi tujuan penyaluran peruntukan pada awal tahun.

“Sekiranya terdapat keperluan tambahan projek, maka permohonan akan dikemukakan kepada JKN untuk tambahan peruntukan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan bahawa dalam tempoh sama sebanyak RM82,587,097 telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada PBT, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) termasuk baki jumlah peruntukan yang diterima pada tahun lepas.

“Bagi tahun 2021, sebanyak RM201,066,366.94 telah dibelanjakan untuk tujuan penyelenggaraan jalan kepada PBT, JKR dan PDT untuk melaksanakan projek MARRIS,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS