Pulau Pinang terima Sijil Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Tahun 2019

GEORGE TOWN – Jabatan Audit Negara (JAN) Negeri Pulau Pinang hari ini menyerahkan salinan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2019 kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Salinan tersebut diserahkan sendiri oleh Pengarah Audit Negeri, Mazmiza Mihat ketika kunjungan rasmi beliau Ke Pejabat Ketua Menteri di sini sebentar tadi.

Secara keseluruhannya, dalam pertemuan kira-kira 20 minit berkaitan, Mazmiza memberitahu bahawa Pulau Pinang masih mengekalkan Sijil Tanpa Teguran yang mana penyata kewangan telah disediakan dan dipersembahkan mengikut piawaian diterima pakai, diamalkan secara konsisten, seragam serta pendedahan yang mencukupi.

“Walau bagaimanapun, penyata ini masih berstatus embargo kerana ia perlu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri (TYT) sebelum ia boleh diakses oleh orang awam,” jelasnya.

Difahamkan, selain Kon Yeow, sejumlah tiga unit laporan sama telah diedarkan kepada TYT, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN